NURUL Syuhada (tengah) bersama Mohd Khalid (kiri) dan ahli keluarga menunjukkan slip keputusan cemerlang peperiksaan percubaan SPM 2018 dan surat rayuan permohonan taraf kewarganegaraan anak angkat dikemukakan pihak keluarga angkat kepada KDN sebelum ini di Taman Kerian Permai, Parit Buntar. FOTO ihsan keluarga Nurul Syuhada.
NURUL Syuhada (tengah) bersama Mohd Khalid (kiri) dan ahli keluarga menunjukkan slip keputusan cemerlang peperiksaan percubaan SPM 2018 dan surat rayuan permohonan taraf kewarganegaraan anak angkat dikemukakan pihak keluarga angkat kepada KDN sebelum ini di Taman Kerian Permai, Parit Buntar. FOTO ihsan keluarga Nurul Syuhada.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


PELAJAR perempuan dirundung malang apabila tidak dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu hadapan kerana tiada kad pengenalan diri.

Lebih menyedihkan, Nurul Syuhada Abdul Nasir Idris, 17, yang ibu bapa kandungnya berasal dari Kemboja, adalah pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang.

Bagaimanapun, hasratnya menduduki peperiksaan utama itu tidak kesampaian kerana statusnya sebagai ‘tiada kewarganegaraan’.

Nurul Syuhada berkata, dia runsing apabila pihak sekolah memaklumkan dirinya tidak dibenarkan menduduki SPM kerana masalah itu.

“Saya merayu diberi peluang sama rata untuk mendapatkan peluang pendidikan sempurna kerana saya menyedari perkara itu penting untuk menentukan masa hadapan yang lebih cerah,” katanya ketika ditemui di Taman Kerian Permai, Parit Buntar, hari ini.

Menurutnya, ketiadaan kad pengenalan turut menyebabkan urusan harian seperti urusan di bank dan pelbagai perkara lagi yang menyentuh kehidupannya menjadi sukar.

Katanya, dia yang lahir di negara ini dijaga ibu bapa angkat warga tempatan sejak kecil manakala ibu dan bapa kandungnya sudah lama pulang ke negara asal.

Sementara itu, wakil keluarga angkat pelajar itu, Mohd Khalid Fatharuddin, 58, berkata pihaknya merayu campur tangan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk mempercepatkan rayuan kelulusan Nurul Syuhada bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia sebelum bermulanya SPM.

Katanya, rayuan permohonan taraf kewarganegaraan Nurul Syuhada kali pertama dikemukakan keluarga angkat pelajar itu kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak pada 2013 diikuti tiga tahun kemudian, namun gagal atas alasan status pelajar itu bukan warganegara meskipun sudah dipelihara keluarga angkat sejak lahir.

“Saya dan keluarga angkat Nurul Syuhada sedih jika dia tidak dapat menduduki peperiksaan SPM kerana pelajar itu seorang yang pintar dan berpotensi mendapat keputusan cemerlang.

“Kementerian perlu menyedari Nurul Syuhada tidak memiliki taraf kewarganegaraan negara asal kelahiran ibu bapanya iaitu Kemboja dan berdepan kesukaran memohon taraf itu (warganegara asal ibu bapa) susulan terputus hubungan dengan kedua ibu bapa kandung.

“Justeru, kami merayu pihak kementerian menggunakan budi bicara membenarkan Nurul Syuhada menduduki SPM minggu depan kerana pelajar cemerlang itu layak mendapat pendidikan sempurna untuk memenuhi potensi besar terdapat dalam dirinya,” katanya.

Mohd Khalid berkata, Nurul Syuhada memperolehi 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), diikuti keputusan 8A, 1B dan 1C dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga(PT3) dan 6A dalam ujian percubaan SPM, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar, Hairul Nizam Ishak, ketika ditemui mengesahkan aduan membabitkan kes Nurul Syuhada sudah dikemukakan kepada pihaknya sejak September lalu dan sudah dipanjangkan kepada KDN dan Kementerian Pendidikan.

“Menerusi surat maklum balas dikeluarkan KDN bertarikh 11 Oktober lalu, pihak kementerian itu hanya memaklumkan kes Nurul Syuhada akan diteliti dan diberi pertimbangan sewajarnya mengikut prosedur sedia ada.

“Pihak kami berharap pertimbangan itu akan dilaksanakan secepat mungkin kerana tarikh bagi Nurul Syuhada menduduki peperiksaan SPM sudah semakin suntuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 4:42 PM