SHUK makin selesa di Hot FM. FOTO/EIZAIRI SHAMSUDIN
SHUK makin selesa di Hot FM. FOTO/EIZAIRI SHAMSUDIN
Norhayati Nordin


LEBIH setahun berkhidmat di konti radio Hot FM membuatkan Shuk Sahar, 32 semakin seronok dan selesa.

Malah, fokusnya kini memang diberi sepenuhnya sebagai penyampai radio.

Berganding dengan dua rakan iaitu Fizi dan Ajak untuk slot Geng Pagi Hot, Shuk juga tidak ada masalah mewujudkan keserasian.

Bersua dengan bapa seorang anak ini, dia tidak kesal kini lebih memberi fokus pada tugasan di konti radio.

“Cinta saya semakin mekar terhadap karier sebagai penyampai radio. Apatah lagi, segmen ‘Kak Ello’ yang dikendalikan mendapat sambutan.

“Terima kasih kepada pendengar Hot FM yang menerima baik segmen ini atas tujuan berjenaka dan gurau senda.

“Bagaimanapun, saya tetap utamakan sensitiviti pendengar untuk segmen ‘Kak Ello’ itu supaya jenaka diketengahkan tidak kosong,” katanya.

Menurut Shuk, dia sentiasa berhati-hati dalam persembahan lawaknya kerana enggan pendengar terluka dan terasa hati.

Mengulas mengenai karier lakonannya, Shuk berkata, dia kini muncul dalam sitkom Jenaka Kampung Kalut musim keempat (JKKK4) di TV3.

Pemilik nama sebenar, Mohammad Shukri Mohamed Sahar ini berkata, dia melakonkan watak guru Matematik.

“Walaupun sebagai guru dalam sitkom itu, yang lucu dan menariknya tiada babak saya mengajar dalam kelas. Malah, siapa yang menjadi pelajar saya pun tidak ditampilkan. Itulah yang menariknya mengenai watak saya itu. Saya yakin penonton akan terhibur,” katanya.

Mengulas gandingannya bersama Ebby Yus, Ropie dan Issey Fazlisham, Shuk yang juga popular sebagai pelawak sangat selesa.

“Apabila bekerja dengan rakan dalam satu produksi, hubungan dijalin bagaikan satu keluarga,” katanya.

Selain Shuk yang beraksi kali pertama dalam sitkom JKK4, ia juga diserikan oleh pengacara dan pelakon tinggi lampai, Ain Edruce.

Dalam pada itu, Shuk juga tidak akan terbabit dalam program Maharaja Lawak Mega kali ini berikutan jadual kerjanya agak padat.

“Saya bertugas di konti radio setiap hari dari Isnin hingga Jumaat. Selain itu, saya juga terikat sebagai pengacara untuk program bual bicara hiburan, Pop Express di ntv7.

“Saya juga perlu beri perhatian kepada rumah tangga, isteri dan anak selain sibuk bekerja,” katanya.

Shuk bertemu jodoh dengan wanita pilihannya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah, 26, pada 2015 dan mereka dikurniakan anak perempuan, Nur Qurratu Ain yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 3:50 AM