SHUK Sahar. FOTO arkib NSTP
SHUK Sahar. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


PELAWAK dan penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar, 32, akui teringin untuk hasilkan single seperti beberapa rakan pelawaknya yang lain.

Shuk ketika ditemui berkata, kalau tanya tentang keinginannya menyanyi, dia tidak nafikan memang ada dan nak juga mencuba.

"Apatah lagi, melihat beberapa rakan seperti Achey, Fad dan Ajak yang sudah menghasilkan single sekali gus menceburi nyanyian, saya pun teringin juga.

"Meskipun, vokal saya mungkin tidak sebagus mereka tetapi tidak salah mencuba sekiranya berjaya mendapat lagu sesuai.

"Untuk saya jika berpeluang jadi penyanyi, biarlah lagu dirakam itu lebih menjurus pada nasihat, teguran atau kisah masyarakat seperti yang pernah dibuat kumpulan Senario.

"Terus-terang, saya sendiri lebih gemar mendengarkan lagu berunsur nasihat dan kisah masyarakat seperti pernah dihasilkan oleh Senario yang boleh menjadi teladan," katanya.

Menurut Shuk atau Mohammad Shukri Mohamed Sahar lagi, apa yang pasti, biarlah dapatkan lagu sesuai serta kena dengan jiwanya dahulu.

Apapun, bapa seorang anak ini mengakui dia juga tidak terdesak untuk mencuba nasib bergelar penyanyi kerana sedar tahap diri.

"Macam saya kata, hanya teringin menyanyi saja. Keutamaan saya semestinya pada bidang kerja sebagai penyampai radio.

"Selama labih setahun ini, saya sangat selesa dan seronok bertugas di konti radio Hot FM bersama rakan, Fizi dan Ajak untuk melayan ragam pendengar setiap pagi.

"Kini, jiwa saya memang sepenuhnya pada bidang kerja di konti radio, katanya yang cukup dikenali dengan kerekter 'Kak Ello' di Geng Pagi Hot.

Menurut Shuk, dia berterima kasih kepada stesen radio Hot FM kerana yakin dengan bakatnya dan sudi memberi peluang.

Ujarnya, dia sangat teruja dan kini sukar untuk Shuk meninggalkan konti radio. Kalau diminta memilih, mungkin saja pilihannya kerja di konti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 8:18 PM