HARUN mengutip telur penyu sejurus selepas dikambus.
HARUN mengutip telur penyu sejurus selepas dikambus.
Zairee Mohd Yasak

Alor Gajah

Walaupun pernah ditampar dan dipukul, selain perahu dibakar dipercayai perbuatan khianat pengutip telur penyu haram namun ia tidak mematahkan semangat Harun Safar, 63, untuk terus memerah keringat menjaga kesinambungan generasi spesies hidupan laut itu.

Malah, warga emas itu pernah terserempak dengan sekumpulan 12 warga asing yang mendarat secara haram untuk mencuri barangan penduduk tempatan selain pernah dipukau ketika bertugas.

Berpengalaman selama 25 tahun dalam tugas mengutip telur penyu, ia menjadi pembakar semangat buat Harun bersama empat lagi rakan setugasnya yang kini ditempatkan di 13 lokasi pendaratan penyu
di Melaka.

Bekas jurulatih penembak tepat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, tugas sebagai pengutip telur penyu sudah menjadi sebahagian darah dagingnya, malah menjadi pendorong untuk meneruskan tugas setiap kali musim bertelur tiba.

“Bermula sebagai pengutip telur penyu berlesen, saya dilantik menjadi renjer penyu sejak tiga tahun lalu.

“Perkara paling gembira ketika melakukan tugasan ini ialah apabila saya dapat melihat semula penyu yang sama naik bertelur sekurang-kurangnya lima kali ketika musim bertelur,” katanya ketika ditemui
di Padang Kemunting
di sini.

Mengikut rekod Jabatan Perikanan Melaka, lebih 40,000 telur dari subspesies penyu karah berjaya dikutip dan dieramkan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Masjid Tanah, tahun lalu.

Kawasan sepanjang 23 kilometer (km) dari Kem Terendak hingga ke Kuala Linggi dan Pulau Upeh turut menjadi tempat pendaratan penyu karah di Melaka, selain Pulau Penyu di Sabah.

Selain itu, empat kejadian penyu bertelur pada waktu siang turut direkodkan pada tahun ini.

Bagi Harun, segala penat lelahnya bergerak sepanjang 2.5 km antara Muara Sungai Pasir Gembur ke Muara Sungai Pengkalan Balak, berbaloi setiap kali berjaya menyelamatkan telur hidupan laut itu.

“Selain mengutip telur penyu yang baru dikambus, saya turut membuang teritip yang melekat pada cengkerang haiwan itu sejurus mencatatkan maklumat berkaitannya.

“Lebih menyedihkan dan membuat saya sayu apabila menjumpai penyu kudung sebelah kaki belakang. Terkial-kial ia mengorek lubang untuk bertelur walaupun pasir masuk semula ke lubang yang digali.

“Kadang-kala saya bantu dengan meletakkan batu atau pegang bahagian yang kudung itu supaya ia dapat menyelesaikan tugasnya, sebelum balik semula ke laut,” katanya.

Menurutnya, kehadiran reptilia itu dapat dikesan naik bertelur setiap kali terhidu bau pekat hamis di gigi pantai.

Walaupun penyu tidak menggigit atau memagut namun dia perlu berhati-hati dengan libasan kaki belakang haiwan itu kerana ia boleh mencederakan.

“Bagi memastikan keselamatan diri saya, penyu akan dialih dan diletakkan dalam keadaan melintang setiap kali ia selesai menimbus lubang sebelum menjalankan tugas mengutip telur penyu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 5:35 AM