BERSAMA penyu agar bernama Zoro yang terdapat di Rimbun Dahan Turtle Hatchery.
BERSAMA penyu agar bernama Zoro yang terdapat di Rimbun Dahan Turtle Hatchery.
Mohd Rafi Mamat


KASIH sayangnya terlalu menebal pada penyu hingga sanggup berkorban menghambakan diri pada hidupan laut itu secara sukarela dengan mengadakan pelbagai program pemuliharaan dan kesedaran sejak lebih enam tahun lalu.

Sifat lemah lembut pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris , (major dalam kewartawanan) itu seolah-olah pelengkap kepada aktiviti mengumpul telur, proses penetasan dan pelepasan reptilia berkenaan ke laut.

Kini, usaha yang dilakukan Farina Ashrin Ariffin, 32, dianggap berjaya apabila membiakkan anak penyu jenis agar, karah dan lipas secara semula jadi sepanjang tahun.

Dia yang terkenal dengan panggilan Along dalam kalangan pelancong berkata, sebelum ini hanya berperanan sebagai pembantu kepada ayahnya, Ariffin Hassan namun selepas bapanya itu meninggal dua tahun lalu, pengurusan Rimbun Dahan Turtle Hatchery di Jalan Pantai Chendor, Kuantan, Pahang diuruskannya sendiri.

Katanya, rasa sayang dan minat pada penyu mula bercambah sejak di bangku sekolah rendah apabila berpeluang mengikut arwah ayahnya melihat penyu bertelur di pantai Mak Nik, Kemaman, Terengganu.

"Pesisir pantai berkenaan lokasi utama penyu mendarat untuk bertelur.

"Hati saya boleh dikatakan sebati dengan anak penyu apabila hampir setiap hari berpeluang memegang dan membelai reptilia terbabit. rasa puas hati dan terhibur melihat anak penyu yang aktif sambil berusaha untuk turun ke laut.

"Saya mendapat bekalan telur penyu daripada penduduk kampung Chendor yang menjual dengan RM2.80 sebiji, telur berkenaan dieram dalam pasir yang mengambil masa 40 hingga 60 hari untuk menetas. Kawasan khas berpagar dijadikan tempat menyimpan telur.

ANAK penyu agar disimpan sementara dalam bakul sebelum dilepaskan ke laut.
ANAK penyu agar disimpan sementara dalam bakul sebelum dilepaskan ke laut.

"Tawaran untuk aktiviti melepaskan anak penyu ke laut disediakan kepada pelancong dengan dikenakan sedikit bayaran. Program berkenaan sentiasa mendapat permintaan menggalakan," kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Tahun lalu kira-kira 23,000 anak penyu jenis agar dikeluarkan namun jumlahnya berkurangan tahun ini kepada 7,000 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19. Aktiviti mencari telur penyu tidak dapat dilakukan sedangkan penyu betina banyak mendarat di pesisir pantai Chendor.

Farina Ashrin berkata, penyu betina banyak mendarat untuk bertelur bermula Jun hingga Oktober. Pada bulan lain jumlah pendaratan agak sedikit. Kini, penyu jenis agar banyak mendarat berbanding karah dan lipas.

"Untuk menguruskan Rimbun Dahan Turtle Hatchery saya dibantu adik, Fadhil Izzuddin, 27, yang mempunyai minat sama. Walaupun berhadapan pelbagai cabaran, saya akan tetap teruskan usaha berkenaan demi masa depan hidupan laut itu.

"Saya juga turut terbabit melakukan kajian berkaitan jentina penyu, lokasi pendaratan dan ancaman reptilia berkenaan hingga berlaku kes kematian.Hasil kajian saya kongsi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

"Dari semasa ke semasa, saya akan berusaha untuk pastikan masa depan penyu terus terbela seterusnya telur reptilia itu tidak terus dijadikan hidangan pihak tertentu," katanya.

Katanya setiap hari dia menguruskan anak penyu tanpa jemu malah menyeronokan.

FARINA Ashrin begitu mencintai hidupan laut ini.
FARINA Ashrin begitu mencintai hidupan laut ini.

"Anak penyu aktif dan fokus utamanya ialah untuk turun ke laut tanpa memikirkan bahaya serta ancaman," katanya

Farina Ashrin berkata, setiap hujung minggu dia berpeluang bertemu pelancong tempatan dan antarabangsa sambil mengadakan aktiviti melepaskan anak penyu ke laut bermula enam petang, sebelum taklimat dan penerangan diberikan kepada mereka.

"Sepanjang pembabitan dengan pelancong banyak pengalaman manis dilalui, pernah berlaku seorang kanak-kanak Cina mengirim gambar saya bersama penyu yang dilukis, selepas itu setiap tahun kanak-kanak berkenaan dan keluarganya berkunjung ke Rimbun Dahan Turtle Hatchery.

"Terdapat pelancong luar negara yang memberi cenderahati sambil mengucapkan tahniah di atas usaha yang dilakukan," katanya yang berbangga sebagai sukarelawan penyu.

Tambahnya lagi, dia turut terbabit dengan program pemuliharaan tuntung yang kini semakin berkurangan berbanding sebelum ini berikutan beberapa faktor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 6:32 AM