MUHAMMAD RAFIQ ISMAIL
MUHAMMAD RAFIQ ISMAIL

PALEMBANG: Kejayaan meraih pingat perak belum memberi kepuasan sepenuhnya kepada trio boling lelaki negara, Rafiq Ismail, Timmy Tan Chye Chern dan Ahmad Muaz Mohd Fishol, pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Sebaliknya, mereka mahu melakar pencapaian bersejarah merangkul pingat emas acara berpasukan lelaki pada temasya sukan itu, sekali gus menamatkan kemarau 40 tahun tanpa pingat emas dalam acara berkenaan, di Pusat Boling Jakabaring di sini, Sabtu ini.

Kali terakhir Malaysia meraih emas acara berpasukan ialah ketika Sukan Asia 1978 di Bangkok, Thailand.

“Kami sangat bangga dengan kejayaan ini, tetapi kami tidak mahu sekadar berpuas hati dengan pingat ini sahaja. Kami dahagakan lebih banyak kejayaan, terutamanya pingat emas acara berpasukan, selepas sekian lama tidak mengungguli acara itu,” kata Rafiq.

“Bagaimanapun, kami tidak mahu meletakkan tekanan ke atas diri kami dan apa-apa boleh terjadi.

“Hari lain, rentak permainan lain, lagi pun enam sepasukan baru pertama kali diperkenalkan pada Sukan Asia (menggantikan lima sepasukan),” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah.

Perubahan dalam format pemarkahan dilakukan penganjur ternyata menjadikan saingan pada temasya sukan tersebut terbuka apabila trio negara itu mencipta kejutan dengan bangkit daripada kedudukan ke-10 pada blok pertama untuk menamatkan saingan di tempat kedua dengan 4,235 jatuhan pin selepas blok kedua.

Trio Jepun, Tomoyuki Sasaki, Shogo Wada dan Shusaku Asato  berjaya mempertahankan emas dengan mencatat 4,344 jatuhan pin, manakala pingat gangsa menjadi milik trio Singapura yang terdiri daripada Alex Chong, Darren Ong dan Muhammad Jarris Goh yang melakukan 4,226 jatuhan pin.

Satu lagi wakil negara yang dibarisi Adrian Ang Hsien Loong, Mohd Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Alex Liew gagal meneruskan rentak cemerlang menduduki tempat kedua pada blok pertama, apabila menamatkan saingan di tempat kesembilan dengan 4,147 jatuhan pin.

Sementara itu, Timmy Tan, yang merupakan satu-satunya wakil trio negara yang meraih pingat perak acara itu pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan bersama Mohd Syafiq dan Zulmazran Zulkifli, mengakui  perubahan pada keadaan lorong berminyak pada blok pertama dan kedua mengubah saingan 360 darjah.

“Perubahan pada lorong berminyak yang sederhana pada blok pertama kepada lorong berminyak panjang pada blok kedua sama sekali mengubah permainan. Kami mempunyai strategi permainan, kami kekal terhadap corak permainan itu dan berjaya memenanginya (pingat perak),” katanya.

Untuk rekod, Malaysia hanya sekali memenangi pingat emas acara berkenaan menerusi Daniel Lim, Ben Heng dan Aaron Kong pada edisi 2006 di Doha. - BERNAMA

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 9:35 PM