GEUM-seom memeluk anak lelakinya ketika bertemu semula selepas 65 tahun terpisah akibat Perang Korea. - Agensi
GEUM-seom memeluk anak lelakinya ketika bertemu semula selepas 65 tahun terpisah akibat Perang Korea. - Agensi
Agensi

Seoul: Selama dua jam, seorang ibu tua berusia 92 tahun menggenggam tangan dan merenung mata anak lelakinya untuk kali pertama dalam tempoh 65 tahun selepas perang saudara memisahkan mereka.

Dua beranak itu adalah antara keluarga yang bertuah dari Korea Utara dan Korea Selatan yang mendapat peluang bertemu semula selepas perang saudara itu yang memisahkan negara serta orang tersayang, Isnin lalu.

Ri Sang-chol, 71, yang menetap di Korea Utara kelihatan lebih tua berbanding ibunya, Lee Geum-seom yang tinggal lebih enam dekad di Korea Selatan sejak Perang Korea tamat pada 1953.

Dua beranak itu tidak pernah bertemu atau berkomunikasi hinggalah kelmarin apabila Geum-seom dan puluhan lagi warga tua di Korea Selatan dibenarkan melintasi sempadan yang dikawal ketat untuk bertemu semula dengan keluarga mereka di Korea Utara.

“Ibu, inilah ayah,” kata Sang-chol sambil menunjukkan kepada Geum-seom gambar mendiang suaminya yang juga ditinggalkan di Korea Utara.

Sepanjang pertemuan selama dua jam di sebuah resort di Gunung Berlian, tenggara Korea Utara itu, Geum-seom dilihat tidak mahu melepaskan tangan anaknya. Pertemuan itu yang pertama diadakan sejak tahun lalu, susulan hubungan antara dua negara itu semakin pulih.

Seperti beribu-ribu keluarga yang menjadi mangsa perang yang memisahkan Semenanjung Korea itu, dua beranak berkenaan terpisah di sempadan apabila perang tamat dan tidak dapat berutus surat, menghubungi melalui telefon atau apa sahaja perhubungan.

Setiap tahun, lebih 3,000 warga tua di Korea Selatan meninggal dunia tanpa dapat bertemu ahli keluarga tersayang yang terpisah di Korea Utara.

Secara keseluruhan, kira-kira 20,000 orang dipilih menyertai perjumpaan seperti itu yang diadakan sebanyak 20 kali sejak 1985 dan tidak berpeluang lagi untuk bertemu buat kali kedua.

Peserta yang dipilih untuk menghadiri pertemuan itu dianggap sangat bertuah kerana nama mereka dipilih secara rawak oleh sistem komputer loteri.

Seramai 93 warga emas menghadiri sesi pertama sejak tiga hari lalu, manakala kumpulan kedua membabitkan 88 orang tua Korea Utara akan tiba di resort berkenaan pada Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 5:09 AM