HEZRON (kiri) dan Ganak. FOTO Aziah Azmee
HEZRON (kiri) dan Ganak. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

Walaupun sudah enam tahun menceburi bidang nyanyian, baru setahun kebelakangan ini kumpulan Atmosfera berasa puas. Kumpulan duo dari Sabah dianggotai dua beradik Hezron Rayner, 26, dan Hazrenol Rayner, 24, ini gembira kerana mereka berpeluang menjelajah ke seluruh negara selepas bergelar artis.

Malah, mereka juga akan ke Jakarta, Indonesia selepas diundang mempromosikan single mereka.

Menurut Hezron, sejak dikenali dengan single Berakhirlah Sudah tahun lalu, Atmosfera sering mengembara.

"Sebenarnya sejak lagu itu mempopularkan kami, barulah dapat merasa naik kapal terbang. Kami keluardari Sabah ke Kuala Lumpur dan seluruh negara kerana undangan persembahan nyanyian.

"Ia memberikan kami banyak pengalaman dan kenangan indah dapat berkunjung ke setiap negeri di Malaysia," katanya.

Menurut Hezron, jika tidak bergelar penyanyi semestinya dia dan adiknya, Hazrenol atau Ganak takkan berpeluang mengelilingi Malaysia.

“Kami bukan daripada keluarga senang. Jadi, kalau tak dikenali sebagai penyanyi memang tidak merasa.

“Bagaimanapun, kini kami lebih teruja mahu ke Indonesia pula. Tak sangka single nyanyian Atmosfera diterima baik di sana,” katanya.

Hezron berkata, memang tak dinafikan kebanyakan kelompok peminat Atmosfera dari Indonesia.

Kini melonjak dengan single Demi Si Kici, Ganak berkata, lagu itu adalah kisah percintaan zaman sekolahnya.

“Ia adalah kisah pengalaman saya. Malah, saya pasti setiap orang mesti ada kenangan percintaan masing-masing.

“Untuk saya, memang selesa menghasilkan lagu berkaitan pengalaman sendiri. Lebih dekat dengan jiwa. Lagipun, ia ilham bersandarkan kenangan lama terutama ketika zaman persekolahan yang menyeronokkan,” katanya.

Turut muncul dengan single Original Sabahan, Ganak berkata, ia sebuah karya istimewa untuk Sabah.

“Sebagai anak jati Sabah, kami menghasilkan lagu ini dengan perasaan bangga, gembira dan penuh syukur. Ditambah, rakamannya pula dibuat secara duet dengan kerjasama Ayie dari Floor 88.

“Sekali lagi kami tak duga apabila single Original Sabahan ini mendapat sambutan baik,” katanya.

Single Original Sabahan ciptaan sepenuhnya Hezron sudah dimuat naik video muzik di YouTube sejak tiga bulan lalu dan mencatat lebih 10 juta tontonan.

Ditanya mengenai single Sumandak Sabah oleh Marsha Milan dan Velvet, katanya, ia satu langkah yang baik.

Menurut Ganak, dia melihat usaha dilakukan dua penyanyi wanita itu murni dan seharusnya dipuji.

“Pada saya, apa yang Marsha dan Velvet lakukan itu tindakan yang bagus. Sebagai anak jati Sabah, saya gembira,” katanya.

GANAK (kiri) dan Hezron . FOTO Aziah Azmee
GANAK (kiri) dan Hezron . FOTO Aziah Azmee

Syukur isteri tidak cemburu

Memilih berkahwin muda, Hezron dan Ganak mengakui mereka sudah membuat keputusan tepat.

Hezron berkata, dia berasakan kehidupannya sudah lengkap apabila bergelar suami dan bapa.

“Saya seronok dengan kehidupan sekarang kerana ada isteri dan anak. Mereka menjadi pembakar semangat saya.

“Sebagai ketua keluarga, saya sedar perlu bekerja keras untuk memberikan kehidupan lebih baik buat mereka.

“Apatah lagi, anak saya pun kedua-duanya masih kecil. Jadi, semestinya mereka perlukan lebih perhatian,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan isterinya, Hezron berkata, dia bernasib baik dan bertuah isteri tidak cemburu.

Katanya, setakat ini isteri yakin dan percaya dengan kesibukannya menyanyi untuk mencari rezeki buat keluarga.

Sementara itu, Ganak yang memiliki dua anak berkata, kepercayaan suami isteri adalah tunjang dalam rumah tangga.

“Setakat ini, isteri tidak pernah mempersoalkan kesibukan saya dengan pelbagai aktiviti seni. Mungkin juga dia (isteri) faham memandangkan Atmosfera pun ditubuhkan oleh saya dan Hezron.

“Jadi, ke mana saja saya pergi menjayakan persembahan nyanyian pastinya Hezron akan bersama.

“Oleh itu, tidak ada sebab isteri saya nak cemburu. Bahkan, setakat ini dia (isteri) memberi sokongan,” katanya.

Selain aktif menyanyi, Hezron dan Ganak juga bekerja sepenuh masa sebagai tukang kayu di kampung mereka di Keningau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 8:54 AM