GANDINGAN Floor 88 bersama Baby Shima menjadi.
GANDINGAN Floor 88 bersama Baby Shima menjadi.
Norhayati Nordin


POPULAR dengan lagu Zalikha pada 2017, nama kumpulan Floor 88 nampaknya semakin kukuh di persada seni tanah air.

Sudah muncul dengan lima lagu iaitu dua solo dan tiga dirakam secara duet, Floor 88 semakin menjadi tarikan peminat.

Apatah lagi dengan lagu duet berjudul Original Sabahan bersama kumpulan Atmosfera dan Roadblock Hatiku (duet Baby Shima).

Ditanya sejauh mana nama dan bakat Floor 88 sudah stabil, vokalisnya Nik Fadlee Elhamshah atau Ayie, tiada jawapan pasti.

Katanya, masih terlalu awal untuk dia mengatakan Floor 88 berada di kedudukan selesa.

“Bagi saya Floor 88 masih perlu berusaha gigih untuk berada di kedudukan selesa.

“Alhamdulillah, kami (Floor 88) sangat bersyukur dengan perhatian serta sokongan diberikan dan amat berterima kasih.

“Malah, sejak awal kemunculan rezeki kami tak putus dan percubaan kami merakamkan lagu duet membuatkan muzik kami kian dikenali ramai,” katanya.

Selain Ayie, Floor 88 turut dianggotai Zai Hamzah atau Achoi, 28, selaku pemain gitar utama, Muhammad Falikh Ghazali (Falique, 31, bass), Muhamed Eric Muhamed Fuzi (Eric Puzi, 27, keyboard), Muhammad Akram Kadir (Akram, 29, dram) dan Amirul Affeq Mohd Fuaad (Amir, 28, gitar kedua).

Berbicara mengenai single baharu, Ayie berkata mereka akan muncul dengan lagu Hutang ciptaan Achoi.

Lagu itu sudah dirakam dan kini menunggu masa untuk untuk penggambaran video muzik.

“Jika diamati, lirik lagu Floor 88 berbentuk sinikal. Ada mesej mengenai realiti kehidupan cuba kami sampaikan kepada masyarakat.

“Hutang juga begitu. Liriknya menggambarkan apa yang berlaku sekarang dan ia disampaikan secara sinis,” katanya.

Selain lagu Zalikha, Floor 88 juga dikenali dengan lagu Aqilah yang menjadi pilihan ramai pendengar.

Terus Duet Dengan Baby Shima

Selepas Roadblock Hatiku yang video muziknya mencatat lebih 30 juta tontonan di YouTube, Floor 88 kekal meneruskan kerjasama dengan penyanyi dangdut, Baby Shima.

Sempena Aidilfitri ini, Floor 88 dan Baby Shima sekali lagi bergabung merakamkan lagu berjudul Tak Dapat Raya.

Sama seperti Roadblock Hatiku, lagu itu juga mendapat reaksi positif peminat apabila berjaya mencatat empat juta tontonan dalam tempoh dua minggu dimuat naik di YouTube.

Berbicara mengenai kerjasama itu, Ayie berkata dia selesa bekerja dengan Baby Shima.

“Terus terang, kerjasama kami berjaya membantu menaikkan nama Floor 88 dan Baby Shima yang semakin dikenali peminat.

“Kami serasi berduet. Insya-Allah selagi ada peluang menghasilkan lagu duet baru, saya sedia bekerjasama dengannya” katanya.

Kata Ayie, sebagai penyanyi penting untuk dia mencari rakan gandingan suara yang serasi dan saling memberi bagi memantapkan nyanyian.

“Setakat ini, saya belum nampak rakan gandingan lain yang sesuai selain Baby Shima. Mudah bekerja dengan Baby Shima kerana dia tahu apa yang perlu dilakukan bagi memantapkan mutu nyanyian kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 5:30 AM