DR Syariz Izry. FOTO Syarafiq Abd Samad
DR Syariz Izry. FOTO Syarafiq Abd Samad
Amir Abd Hamid

Shah Alam: Melakukan pembedahan tanpa sebarang kemudahan seperti ubat bius dan tiada bekalan elektrik ketika bertugas di kawasan pedalaman negara mundur atau dilanda konflik adalah antara cabaran pernah dilalui Pakar Bedah Pediatrik Dr Syariz Izry Sehat, 42.

Menurutnya, selain tugas di hospital, beliau turut berkecimpung dengan aktiviti sukarelawan sejak 2014 di Gaza, Palestin sebelum menabur khidmat di Syria, Kemboja dan Turki.

“Sekarang setiap enam bulan, saya akan ke Kemboja melakukan pembedahan kepada penduduk susah di sana tanpa sebarang bayaran.

“Saya pergi sendiri dan ada juga bersama rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care),” katanya.

Dr Syariz berkata, perbezaan ketara apabila bertugas di negara mundur atau konflik adalah kemudahan dan persekitaran kerana di Malaysia semua peralatan mencukupi selain dibantu doktor lain serta jururawat yang pakar dengan tugas masing-masing.

Beliau memberikan contoh cabaran yang dihadapinya ketika melakukan kerja amal di Kemboja dengan memasuki kampung pedalaman untuk mengkhatankan kanak-kanak dan penduduk dewasa.

DR Syariz Izry  (kiri) ketika bertugas sebagai ketua misi perubatan anjuran Muslim Care. FOTO NSTP
DR Syariz Izry (kiri) ketika bertugas sebagai ketua misi perubatan anjuran Muslim Care. FOTO NSTP

“Bekalan elektrik tiba-tiba terputus sedangkan alat yang saya gunakan perlukan tenaga elektrik. Masa itu saya ingat lagi, masih ada lima orang belum sempat dikhatankan iaitu empat kanak-kanak dan seorang mualaf dewasa.

“Mualaf dewasa itu jika kita khatan mentah-mentah, keluar darah tidak berhenti agak berisiko. Saya jelaskan kepada mereka, ada elektrik baru boleh laksanakan khatan.

“Saya balik ke hotel namun tiba-tiba lima orang yang belum berkhatan tadi tiba-tiba muncul di hotel penginapan saya.

“Jadi mahu tak mahu kena lakukan khatan di bilik penginapan saya. Bawa masuk dalam bilik dan tugas terpaksa dilakukan di atas katil hotel yang sememangnya kita tahu bersaiz rendah. Saya kena bertinggung atas lantai dan selesaikan tugas itu,” katanya.

Ketika di khemah pelarian Rohingya di Bangladesh pula, katanya, ada seorang wanita tua yang meminta bantuan sebab hidungnya bengkak bernanah.

Dr Syariz berkata, pada waktu itu tiada peralatan mencukupi, malah ubat bius pun tidak ada namun dia bertawakal kepada Allah melakukan pembedahan tanpa bius terhadap wanita terbabit.

“Pihak yang menjadi ‘jururawat’ memegang dan menenangkan wanita itu ialah rakan sukarelawan termasuk ustaz yang bantu menenangkan pesakit dengan alunan ayat al-Quran ketika pembedahan dilakukan.

“Saya ajar sedikit ilmu perubatan asas apa yang perlu dibuat kepada rakan-rakan tadi. Kemudian dengan lafaz Bismillah, saya laksanakan tanggungjawab sebagai doktor yang perlu menerima pesakit walaupun tanpa kemudahan lengkap.

“Semuanya dilakukan dengan pantas. Alhamdulillah, pembedahan itu berjaya dilaksanakan.

“Selain itu, saya pernah berdepan situasi menginsafkan di Kemboja apabila seorang pelajar tahfiz tetap terkumat-kamit dengan hafalannya walaupun ketika saya sedang lakukan pembedahan terhadapnya,” katanya.

DR  Syariz Izry  ketika menabur bakti di kem pelarian  Rohingya. FOTO NSTP
DR Syariz Izry ketika menabur bakti di kem pelarian Rohingya. FOTO NSTP

Ditanya apa paling sukar ditempuhinya sepanjang kerjayanya setakat ini, beliau berkata, kes paling sukar apabila kehilangan seseorang pesakit selepas beliau dan pasukan perubatan mencuba sedaya-upaya.

“Skop kerja saya sebagai pakar bedah pediatrik bermula daripada kelahiran bayi sehingga dia besar. Bayi pramatang contohnya, seberat 500 gram saja pun saya bedah sekiranya situasi memerlukan.

“Pesakit meninggal dunia, itu sangat sukar untuk saya. Kita pun seorang ayah, kita jumpa pesakit itu setiap hari dan apa saja yang saya berikan adalah terbaik untuknya namun masih tidak berjaya, itu agak menyedihkan saya,” katanya.

Diminta menceritakan serba sedikit latar belakangnya, Dr Syariz berkata, bapa serta ibunya, Sehat Md Taba, 73, dan Rosliah Daud, 71, adalah pesara guru yang amat menitikberatkan hal pendidikan beliau tiga beradik dan sanggup melakukan apa saja untuk memastikan mereka mendapat pendidikan terbaik.

DR  Syariz Izry  mendukung kanak-kanak pelarian sewaktu misi bantuan di Syria. FOTO NSTP
DR Syariz Izry mendukung kanak-kanak pelarian sewaktu misi bantuan di Syria. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 9:51 AM