TIGA mayat di Jeti PPM Kota Kinabalu sebelum dibawa ke hospital untuk siasatan lanjut. FOTO NSTP
TIGA mayat di Jeti PPM Kota Kinabalu sebelum dibawa ke hospital untuk siasatan lanjut. FOTO NSTP
Junaidi Ladjana


TIGA lelaki maut, enam cedera manakala dua lagi selamat selepas bot penumpang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi bot dekat Kampung Pondo, Pulau Gaya di Kota Kinabalu, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam, ketiga-tiga mangsa yang belum dikenal pasti disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Enam lagi mangsa yang cedera diselamatkan beberapa pemandu bot penumpang yang melalui kawasan berkenaan.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, bot yang membawa sembilan penumpang dipercayai dari Pulau Gaya menuju ke Jeti Safma di Kota Kinabalu, manakala bot tanpa penumpang dari arah bertentangan.

Selepas kejadian itu, pemandu bot tanpa penumpang dipercayai melarikan diri.

PASUKAN polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth. FOTO NSTP
PASUKAN polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth. FOTO NSTP

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, polis sedang menjalankan siasatan dan pengesahan berhubung butiran diri ketiga-tiga mangsa,” katanya.

Sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu turut berada di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 4:52 AM