Hazsyah Abdul Rahman


LEBIH 400 penghuni hilang tempat tinggal sehelai sepinggang selepas kira-kira 90 rumah di penempatan atas air di Kampung Gas, Jalan Batu Sapi, Sandakan musnah dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian pada 1.50 tengah hari itu, api marak dengan cepat berikutan keadaan berangin serta kedudukan rumah papan yang rapat, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

Difahamkan, ketika kejadian sebahagian besar penghuni keluar bekerja menyebabkan ramai yang tidak sempat menyelamatkan harta benda dan dokumen penting.

Mangsa Kamsiah Harisin, 40-an, yang tinggal di jambatan 4 kampung itu berkata, ketika kejadian dia sedang menjahit, manakala suami mengupas mangga sebelum tiba-tiba terasa bahang panas.

“Sebaik menjenguk ke luar dari bahagian dapur, rumah jiran terletak hanya 1.5 meter dari rumah kami sudah terbakar. Saya dan suami kemudian memanggil ahli keluarga lain untuk menyelamatkan diri.

“Dalam masa singkat, rumah di jambatan 4 juga sudah terbakar. Kami segera mengambil semua dokumen penting dan barangan rumah yang sempat diselamatkan,” katanya.

Kamsiah berkata, api marak terlalu cepat hingga mereka tidak menyedari rumah sebelah turut terbakar.

“Tiada bunyi langsung. Apabila api dari rumah itu sudah terlalu marak dan mula merebak ke rumah kami, baru keadaan menjadi riuh.

“Ini kali kedua rumah kami terbakar dan tak tahu mahu tinggal di mana selepas ini? Bukan itu saja, pada malam ini sepatutnya kami mengadakan kenduri di rumah abang di sebelah (rumah).

“Segala persiapan sudah disediakan untuk bacaan doa kenduri, namun semuanya hangus terbakar," katanya yang tinggal di rumah terbabit bersama 11 ahli keluarganya.

Sementara itu, Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.56 tengah hari dan menghantar 22 anggota bersama empat jentera serta dua kenderaan utiliti dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.

Katanya, operasi dibantu 30 anggota Emergency Respon Team Kilang IOI, 15 anggota Pasukan Bomba Sukarela Karamunting serta polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pekerja sebuah kilang kayu.

“Kawasan kebakaran berkeluasan 0.8 hektar membabitkan rumah di kawasan jambatan 1 hingga 5 dan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke jambatan 6 hingga 12 serta menyelamatkan sebuah kilang kayu daripada hangus.

“Pasukan bomba mengalami kesukaran memadam kebakaran kerana tekanan air rendah, paras air laut surut dan perubahan angin, namun api dapat dikawal pada jam 4.15 petang serta operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.39 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 7:23 PM
KEBAKARAN yang berlaku di penempatan atas air di Kampung Gas, Jalan Batu Sapi, Sandakan, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
KEBAKARAN yang berlaku di penempatan atas air di Kampung Gas, Jalan Batu Sapi, Sandakan, hari ini. FOTO Ihsan JBPM