SARIMAH ketika menyerahkan sumbangan kepada ibu tunggal.
SARIMAH ketika menyerahkan sumbangan kepada ibu tunggal.
MENJAYAKAN program moreh bersama golongan ibu tunggal.
MENJAYAKAN program moreh bersama golongan ibu tunggal.
SARIMAH sudah bersedia menimang anak tapi belum ada rezeki.
SARIMAH sudah bersedia menimang anak tapi belum ada rezeki.
HM Digital

Selepas berumah tangga pelakon, penyanyi dan pengacara terkenal Sarimah Ibrahim seakan-akan menyepi.

Hakikatnya, Sarimah, 40, masih terbabit dalam bidang seni yang sudah sebati dengan dirinya sejak dulu.

“Ada pihak mendakwa saya sudah bersara walhal masih mengacarakan program televisyen dalam bahasa Inggeris.

“Mungkin peminat Melayu kurang menonton program bahasa Inggeris sebab itu mereka jarang nampak saya dikaca TV.

“Pada masa sama, saya bersyukur kerana minat dalam bidang pengacaraan direstui suami sejak dulu.

“Malah, suami juga setia menemani dalam setiap program dan bagaikan pengurus saya pula,” katanya.

Selepas sekian lama berkecimpung dalam bidang seni, pelakon filem Janji Diana ini mahu berehat seketika untuk fokus pada keluarga.

“Maklumlah, sudah lama saya menghiburkan peminat dengan bakat seni yang ada.

“Kini, sampai masanya saya fokus kepada kehidupan yang menggembirakan saya dan keluarga pula.

“Suami dan keluarga jadi keutamaan saya sekarang,” katanya.

Mengenai soal anak pula, kata isteri Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, 44, (Tunku Jamie) ini, dia sudah bersedia namun belum ada rezeki.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia sejak tiga tahun lalu. Cuma kami belum ada rezeki untuk mendapat cahaya mata.

“Suami mahu saya fokus keluarga dan berusaha mendapatkan zuriat.

“Maklumlah, saya kuat bekerja, begitu juga suami hingga masa untuk bersama terhad.

“Kami juga akan terus mencuba dan ada peranca­ngan untuk mencuba rawatan moden termasuk pembenihan in-vitro (IVF),” katanya.

Berkongsi rahsia kebahagiaan rumah tangga pula, Sarimah berkata sikap ego dan sentiasa mahu menang dalam setiap perkara perlu dijauhi pasangan suami isteri.

“Mana-mana rumah tangga ada pasang surutnya. Kita juga perlu menjaga hati suami dan perlu bertolak ansur dalam setiap perkara.

“Suami banyak mengajar saya jadi lebih bersabar kerana apabila dia merajuk saya perlu memujuknya,” katanya.

Bantu ibu tunggal

Ramadan lalu, Sarimah dan suaminya menjayakan rakaman program Moreh Bersama Persatuan Wanita Tunggal (Watim) di Bandar Puncak Alam. Menurut penyanyi lagu Bila Kau Tiada ini, hatinya tersentuh melihat penderitaan golongan ibu tunggal yang serba kekurangan itu.

“Ia membuka mata saya dan suami apabila melihat bagaimana susahnya golongan ini berjuang untuk membina kehidupan sambil menjaga anak,” katanya.

Dalam program itu, Sarimah dan suaminya menyampaikan sumbangan 30 kotak produk kosmetiknya, Thrill kepada ibu tunggal sempena sambutan Aidilfitri.

“Ia sumbangan kecil saya dan suami untuk meri­ngankan beban ibu tunggal sekali gus mengembalikan keyakinan diri dan menguat­kan semangat mereka.

“Saya juga berharap dapat memberi dorongan kepada ibu tunggal untuk terus berjuang dan membina kehidupan produktif bersama anak,” katanya.

Program Moreh yang menampilkan Karl Shafek selaku hos itu disiarkan di TV3 pada 3 Jun lalu.-Ramlah Zainal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 3:28 AM