SARIMAH akui masih berusaha sesuaikan diri dengan kehidupan istana.
SARIMAH akui masih berusaha sesuaikan diri dengan kehidupan istana.
Oleh Ramlah Zainal


Lebih tiga bulan bergelar isteri, pelakon dan pengacara terkenal Sarimah Ibrahim mengakui masih berusaha menyesuaikan diri dengan kehidupan istana.

Bintang berusia 37 tahun ini bagaimanapun bertuah apabila suami, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau Tunku Jamie, 43, cukup memahami dan sentiasa menyokongnya daripada belakang.

Ketika menjayakan sesi fotografi, pelakon berdarah kacukan Melayu-Ireland ini menjelaskan tidak sabar mahu beraya bersama keluarga mentuanya di Seremban.

“Esok dan lusa kami beraya di istana. Dapatlah saya mengeratkan lagi hubungan dengan keluarga suami.

“Saya tidak bimbang kerana sudah belajar protokol istana dengan suami.

“Kami akan menggayakan tiga pasang baju rekaan Melinda Looi,” katanya.

Sarimah turut memaklumkan akan beraya di kampung neneknya di Batu Pahat, Johor pada hari raya ketiga.

“Saya berdarah kacukan, membesar dan berpuasa di luar negara sejak kecil.

“Justeru, Aidilfitri detik paling dinanti kerana dapat beraya dengan nenek di kampung.

“Inilah masanya saya dapat melihat emak, Elizabeth Hanlon memakai baju kurung tradisional,” katanya.

Menyentuh soal juadah kegemaran, Sarimah berkata dia sangat menyukai lemang, sate ayam dan lontong.

Manakala suaminya pula menggemari Dendeng masakan neneknya.

Terbabit dengan program amal

Sejak dulu, Sarimah bergiat aktif dalam program amal. Terbaru, wanita berkarisma ini dilantik sebagai duta WCC bagi membantu golongan wanita teraniaya terutama mangsa rogol dan keganasan rumah tangga.

“Saya juga ingin membabitkan diri dalam lebih banyak program amal selepas ini,” katanya yang pernah muncul dengan single You On My Mind.

Perkembangan lain, Sarimah yang baru pulang bercuti di New York selama tiga minggu bermula 12 Jun lalu me–nyambung kontrak sebagai pengacara program Bella di saluran ntv7 sehingga hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:01 AM