SARIMAH dan Tunku Jamie memilih busana Songket pada majlis resepsi.
SARIMAH dan Tunku Jamie memilih busana Songket pada majlis resepsi.
PASANGAN mempelai mohon restu dari Tunku Najihah dan Elizabeth (kanan).
PASANGAN mempelai mohon restu dari Tunku Najihah dan Elizabeth (kanan).
PASANGAN mempelai bergambar bersama Tunku Najihah (tengah) dan kerabat diraja Negeri Sembilan.
PASANGAN mempelai bergambar bersama Tunku Najihah (tengah) dan kerabat diraja Negeri Sembilan.
Oleh Ramlah Zainal


Selepas sembilan bulan mengenali hati budi, pelakon dan pengacara Sarimah Ibrahim, 37, dan pasangannya, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar (Tunku Jamie), 43, sepakat mengukuhkan lagi hubungan ke jenjang pelamin.

Bermula dengan mengikat tali pertunangan pada 27 September tahun lalu, pasangan ini sepakat mengabadikan hari bersejarah mereka, kelmarin.

Dengan sekali lafaz, Sarimah sah bergelar isteri kepada Tunku Nadzimuddin atau mesra dengan panggilan Tunku Jamie dalam majlis ringkas di sebuah hotel di ibu kota, jam 12.38 tengah hari kelmarin.

Tunku Jamie cucu kepada Yang di-Pertuan Agong ke-10, Almarhum Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman.

Pasangan sepadan ini dinikahkan jurunikah dari Istana Negara, Ustaz Nik Ridzuan Nik Mohamad dengan disaksikan kedua-dua ibu bapa pengantin perempuan, Ibrahim Ahmad, 68, dan Elizabeth Hanlon, 58, serta keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Pada majlis bertemakan tradisional itu, Sarimah menerima mas kahwin sebanyak RM6,000 dan sebentuk cincin daripada pihak lelaki.

Pihak lelaki turut menyerahkan tujuh dulang hantaran berupa beg tangan jenama Channel, kasut Laboutin, cincin, barang kemas berlian, kek dan al-Quran.

Manakala, pihak perempuan pula membalas dengan tujuh dulang berupa cincin, kek, al-Quran, beg duit Mont Blanc, beg jenama Hugo Boss, tali pinggang jenama Hermes, kemeja-T, minyak wangi dan tepak sirih.

Hadir sama, Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tunku Najihah Tunku Besar Burhanuddin.

Ketika ditemui, Sarimah yang tampil jelita dengan busana rona putih sentuhan pereka terkenal Salikin Sidek berkata, dia bersyukur kerana majlis pernikahan berjalan lancar seperti direncanakan.

“Saya mengambil tempoh enam bulan untuk membuat persiapan majlis pernikahan dan resepsi ini.

“Semuanya diuruskan sendiri tanpa tajaan daripada mana-mana pihak.

“Terus terang, saya dan Tunku Jamie memang merancang majlis perkahwinan yang ringkas dan sederhana khusus untuk meraikan saudara-mara terdekat serta rakan rapat saja,” katanya.

Ditanya sama ada dia sudah membuat persiapan bergelar isteri kepada kerabat diraja, kata Sarimah, dia memang sudah bersedia sejak awal lagi.

“Sepanjang berkawan dengan Tunku Jamie, dia yang banyak mengajar saya mengenai protokol kerabat diraja Negeri Sembilan.

“Sebagai isteri, saya akan berusaha menyesuaikan diri dengan kehidupan di istana nanti,” katanya.

Bagi Tunku Jamie pula, dia juga mengharapkan perkahwinan dengan Sarimah berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Sama seperti Sarimah, saya juga pernah berkahwin sebelum ini. Kami juga menerima diri masing-masing seadanya.

“Justeru, pengalaman masa lalu banyak mengajar dan mematangkan kami, sekali gus berusaha untuk memperbaiki kelemahan sedia ada, demi kebahagiaan rumah tangga yang dibina ini,” katanya.

Berkongsi destinasi berbulan madu pula, kata Sarimah, mereka memilih untuk bercuti selama tiga minggu di New York, Amerika Syarikat pada Jun nanti.

“Soal cahaya mata pula, kami merancang untuk memiliki sepasang cahaya mata iaitu lelaki dan perempuan untuk mengukuhkan lagi rumah tangga,” katanya.

Dalam pada itu, selepas majlis pernikahan, pasangan ini diraikan sekali lagi dalam majlis resepsi berkonsep tradisional yang dihadiri kira-kira 200 tetamu pada sebelah malamnya.

Antara rakan artis yang hadir pada majlis resepsi ialah Ning Baizura, Raja Azura dan Serina Redzuawan dengan pasangan masing-masing.

Suami restu teruskan karier seni Jika nak diikutkan, penyanyi berdarah kacukan Melayu-Ireland, Sarimah mengakui dia sudah memperlahankan karier seni untuk memberi fokus kepada kehidupan peribadi ketika ini.

“Namun, selepas bergelar isteri, saya masih meneruskan bidang pengacaraan yang sudah sebati seperti biasa.

“Terbaru, saya akan mula bersiaran secara langsung sebagai hos program Bella bermula 15 April ini di saluran ntv7,” katanya.

Apapun kata Sarimah, dia juga bertuah kerana Tunku Jamie tidak menghalangnya meneruskan minatnya dalam karier seni yang sebati dalam diri sejak dulu.

“Bukan saja mengacara, suami juga memberi sokongan padu dalam karier nyanyian.

“Malah, suami turut membuat kemunculan istimewa dalam klip video single terbaru berjudul You On My Mind sebelum ini.

“Selepas kembali daripada berbulan madu, saya akan masuk studio untuk proses rakaman dua single baru iaitu dalam bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:02 AM