(DARI KIRI) Wan Azizah, Nurul Izzah dan Sultan Muhammad V. FOTO arkib NSTP
(DARI KIRI) Wan Azizah, Nurul Izzah dan Sultan Muhammad V. FOTO arkib NSTP
Nadia Hamid dan Farhana Syed Nokman


DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terkejut dan terkesima selepas diajukan soalan anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar bakal berkahwin dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak tahu dan menafikan khabar angin (gosip) anaknya, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh akan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

"Astaghfirullahalazim (istigfar).. jangan dengar berita khabar angin. Tidaklah ...," katanya ketika sidang media Lawatan Ke Rumah Ehsan Warga Emas, Kuala Kubu Bharu, di Hulu Selangor, hari ini.

Sebelum ini, portal dan media tempatan melaporkan berita perkahwinan Naib Presiden PKR dan kerabat diraja Kelantan yang turut tular di media sosial.

Pada 24 Mei lalu, ibu bapa Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah menemui bonda Sultan Muhammad V, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Istana Mahkota di Kubang Kerian.

Lawatan itu yang pertama untuk Dr Wan Azizah ke Kelantan selepas diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pertemuan tertutup berkenaan berlangsung selama sejam.

Walau bagaimanapun, mesej tular itu memutar fakta dan mengatakan bahawa Anwar dan Wan Azizah telah bertemu dengan Raja untuk membincangkan perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 12:16 PM