WAKIL Aman Palestin mengagihkan sumbangan dan beramah mesra dengan pelarian di kem pelarian sempadan Lubnan.
WAKIL Aman Palestin mengagihkan sumbangan dan beramah mesra dengan pelarian di kem pelarian sempadan Lubnan.
Wakil Aman Palestin melawat pelarian Syria di kem pelarian sekitar sempadan Lubnan.
Wakil Aman Palestin melawat pelarian Syria di kem pelarian sekitar sempadan Lubnan.
Mohd Firdaus Ibrahim


Kuala Lumpur: Ratusan ribu rakyat Syria kini berlindung di tiga kem pelarian utama di Lubnan iaitu Kem Farah, Kem Abrar dan Kem Aramil berkemungkinan diusir pemilik tanah pada bila-bila masa.

Perkara itu didedahkan Pengarah Media Aman Palestin Ustaz Anas Abdul Wahab yang berkata, ketiga-tiga kem pelarian berkenaan dibina atas tanah rakyat Lubnan.

“Ia disewakan pemilik tanah kepada pelarian Syria dengan bayaran RM118,455 (AS$30,000) setahun. Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertanggungjawab melunaskan bayaran berkenaan namun tidak lagi berbuat demikian sejak enam bulan lalu.

“Kemungkinan besar rakyat Syria dihalau sangat tinggi jika mereka gagal melunaskan bayaran sewa tanah. RM118,455 itu hanya nilai sewaan tanah, tidak termasuk caj lain seperti elektrik, kabin atau pun khemah yang mencecah RM200 hingga RM300 sebulan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, Aman Palestin Berhad melakukan kunjungan kecemasan di kawasan kem pelarian itu selepas dihubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk meninjau keadaan sebenar pelarian.

“NGO tempatan panggil kami ke Lubnan untuk terangkan situasi dan berkongsi maklumat terkini apa yang berlaku terhadap pelarian.

“Kami akan rangka beberapa program untuk membantu pelarian Syria di kem berkenaan dalam masa terdekat dan Ramadan ini,” katanya.

Menurutnya, dalam kunjungan sama Aman Palestin juga menyampaikan sumbangan sebanyak AS$100,000 (RM394,850) kepada NGO tempatan dan pelarian Syria hasil derma rakyat Malaysia.

Menjawab soalan wartawan, Anas berkata, pergolakan di Syria dijangka menjadi semakin serius pada penghujung Mei dan Jun nanti.

“Maklumat diberikan kepada kami (Aman Palestin) kumpulan Hizbullah dilapor akan melakukan serangan terhadap Israel bagi mendapatkan semula kepercayaan rakyat Syria dan Muslim seluruh dunia.

“Jika benar ia berlaku, peperangan lebih besar bakal meletus hingga menyukarkan lagi nasib rakyat Syria,” katanya.

Jelasnya, antara keperluan terkini yang sangat diperlukan pelarian Syria di Lubnan adalah makanan, ubat-ubatan, tempat tinggal dan pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 6:05 AM