ELFIRA perlu siapkan banyak tudung untuk dihantar ke 480 cawangan di seluruh negara.
ELFIRA perlu siapkan banyak tudung untuk dihantar ke 480 cawangan di seluruh negara.
HM Digital

Buang jauh kenangan pahit yang pernah dilaluinya, pelakon Elfira Loy, 24, semakin positif apabila lebih kuat dan berani berdepan kenyataan hidup.

Dalam pada keributan kisah peribadinya menjadi perbualan ramai, tuah menyebelahinya apabila dipilih bekerjasama dengan jenama terkenal Watsons untuk kempen Sinari Dirimu sempena Ramadan dan Aidilfitri.

“Asalnya kami berkolaborasi untuk kempen ini saja. Bagaimanapun, untuk menjadikan kerjasama ini lebih istimewa saya diberikan kepercayaan untuk mereka tudung dan beberapa barangan lain yang sesuai digunakan wanita pada musim perayaan.

“Saya turut diberi kebebasan untuk buat corak sendiri mengikut apa yang dimahukan Watsons,” katanya.

Menurutnya, tawaran ini datang dalam tempoh yang singkat iaitu sebulan dan kepercayaan yang diberikan perlu dibalas dengan komitmen padu.

“Memang kena buat cepat sebab saya selalunya menghasilkan tudung untuk jenama sendiri dan hantar di tempat tertentu. EL By Elfira Loy sebenarnya bisnes kecil.

“Apabila bekerjasama dengan Watsons, saya kena siapkan banyak tudung untuk dihantar ke 480 cawangan di seluruh negara. Ia sekali gus menuntut saya bekerja keras. Banyak tempahan yang diterima dan saya sangat berbesar hati diterima berganding dengan mereka,” katanya.

Kempen Koleksi #OOTVDiva by EL bermula pada 24 April sehingga 25 Jun ini untuk Semenanjung dan 2 Mei sehingga 2 Julai di Sabah serta Sarawak.

“Mudah saja untuk mendapatkan koleksi saya kerana pengguna hanya perlu berbelanja RM20 di Watsons untuk mendapatkan satu pelekat.

“Dengan minimum dua pelekat serta pembelian minimum RM19.90, ahli Watsons boleh menebus #OOTDiva berus make up!

“Setakat ini ada lapan koleksi #OOTDiva by EL berada di Watsons dan barangan lain selain tudung ialah beg tangan, alat solek dan banyak lagi” katanya yang menghasilkan kira-kira 100,000 tudung.

Elfira mengakui mulanya gementar untuk mengetahui reaksi pembeli bagi tudung keluarannya. Namun dia kini sangat gembira apabila dimaklumkan sambutan orang ramai sangat menggalakkan.

“Baru beberapa hari dilancarkan ramai yang sudah beli tudung dan sudah pasti saya rasa gembira.

“Harap ada lagi kerjasama antara kami selepas ini kerana saya memang nak cari pelanggan baru,” katanya.

Mengulas karier seni, Elfira baru selesai penggambaran telefilem Striker Hati Ayah untuk siaran Aidilfitri di Astro.

“Itu saja setakat ini kerana menjelang Ramadan dan Aidilfitri, saya akan fokus pada perniagaan,” katanya. -Ridzuan Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 3:48 AM