Elfira Loy terpaksa ikut kehendak penganjur. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Elfira Loy terpaksa ikut kehendak penganjur. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Ridzuan Abdul Rahman


“SAYA hanya menurut arahan penganjur”.

Begitu reaksi pelakon, Elfira Loy memberitahu sewaktu pihak media dilarang bertanyakan soalan peribadi kepadanya pada majlis sesi bertemu peminat di sebuah kompleks beli belah di Petaling Jaya, semalam.

“Sebenarnya mereka (penganjur) tidak letak sebarang syarat apabila memilih untuk bekerjasama. Saya pun tidak pernah cakap enggan melayan soalan berbentuk peribadi.

“Cuma itu adalah program anjuran mereka dan saya perlu menghormati. Media turut hadir program terbabit dan perlu akur kehendak mereka.

“Tetapi sekiranya berjumpa saya di luar dan media mahu bertanyakan soalan peribadi, saya pasti menjawabnya,” katanya kepada Harian Metro.

Elfira berkata, dia sudah mengadakan perbincangan dengan penganjur terbabit sebelum majlis bermula dan mereka meminta saya bercakap mengenai produk berbanding hal peribadi.

“Rasanya sesiapa saja wartawan bertemu saya pasti akan dapat bercakap dengan saya tanpa ada halangan. Tetapi untuk majlis sebegitu saya lebih selesa bercakap mengenai produk dan kerjasama antara kami,” katanya.

Elfira menjadi perhatian masyarakat apabila putus tunang dengan penyanyi Sufian Suhaimi pada Februari lalu.

Terbaru, dia terbabit dalam perbalahan dengan beberapa doktor, antaranya Dr Beni Rusani dan Dr Amalina Bakri berhubung pendapat mengenai makanan tambahan peninggi badan yang diamalkannya.

Elfira dan syarikat terbabit bekerjasama memasarkan beg tangan, shawl, alat solek dan hijab keluaran Elfira yang dinamakan EL Collection menerusi kempen Koleksi #OOTVDiva by El bermula 24 April sehingga 25 Jun ini untuk Semenanjung dan 2 Mei sehingga 2 Julai untuk Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 4:30 PM