Persembahan Kumpulan Padi dari kiri, Ari, Fadly dan Piyu ketika sidang media  Konsert Perdana Padi Reborn Exclusive Live di Hotel Royal, Bukit Bintang.
Persembahan Kumpulan Padi dari kiri, Ari, Fadly dan Piyu ketika sidang media Konsert Perdana Padi Reborn Exclusive Live di Hotel Royal, Bukit Bintang.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Kumpulan rock popular Indonesia, Padi mengakui sikap ego yang terlalu tinggi dan masalah ketagihan dadah menjadi punca perpecahan mereka sehingga menyebabkan mereka terpaksa ‘berehat’ tujuh tahun.

Dalam tempoh itu, peminat kumpulan dari Surabaya yang dianggotai Fadly (penyanyi), Piyu (gitar), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram) yang dikenali sebagai Sobat Padi tidak pernah ketinggalan mengadakan perjumpaan sesama sendiri sebagai tanda mengingati kumpulan ini.

Fadly berkata, Sobat Padi berkumpul di beberapa kota utama Indonesia seperti Jakarta, Jogjakarta, Makassar, Bandung dan Bogor meminta mereka kembali bergabung dalam satu kumpulan.

“Inilah yang membuka pintu hati kami bergabung semula. Kami menghargai apa yang mereka lakukan. Apabila difikirkan secara mendalam, kami melihat anggota Padi bukan hanya rakan satu kumpulan atau rakan bermain muzik, tetapi sebaliknya ibarat satu keluarga,” katanya.

Menurut Fadly, mereka kenal antara satu sama lain sejak 1993 ketika menuntut di kampus yang sama. Ini permulaan kami dikenali, tempat pertama kami berkarya, rumah kami dan itu lebih penting daripada hal peribadi kami sendiri,” katanya.

Padi akhirnya bersetuju bergabung kembali pada Februari lalu dengan nama Padi Reborn.

Mereka kembali aktif mengadakan konsert di seluruh Indonesia dan tidak ketinggalan mengadakan persembahan di negara ini di KL Live, Jalan Sultan Ismail pada 30 Jun depan.

“Mengenai persembahan di Malaysia, sudah tentu kami tidak sabar untuk bertemu Sobat Padi di sini. Sudah pasti kami menampilkan persembahan terbaik buat mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 6:08 AM