Azura Abas; Esther Landau; Siti Azila Alias dan Luqman Arif Abdul Karim
cnews@nstp.com.my


PENGORBANAN lebih 14 juta penjawat sektor swasta dan awam negara terus dihargai menerusi pengumuman lima ‘€˜hadiah istimewa’ sempena Hari Pekerja 2018.

Ia mencakupi pemberian peruntukan khas, dasar perintah gaji minimum, perlindungan keselamatan sosial, kebajikan keluarga pekerja dan persiapan mendepani Revolusi Industri 4.0.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan berita gembira itu berkata, pemberian khas bernilai RM3 juta kepada kesatuan sektor swasta pada tahun ini adalah bagi menghargai prinsip walak terhadap kerajaan yang terus dijadikan sandaran dalam kalangan pekerja di negara ini.

“€œGeran ini akan diagihkan sebaik mungkin oleh kesatuan untuk pelbagai kegunaan,” katanya pada ucaptama perasmian Hari Pekerja 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Timbalannya, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Dr Mohd Gazali Abas; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor.

Penganjuran sambutan kali ke-46 bertemakan ‘Pekerja Berkemahiran Peneraju Kecemerlangan Negara’ dengan dihadiri lebih 5,000 penjawat daripada pelbagai sektor turut menyaksikan pemberian anugerah khas kepada 11 penerima terpilih.

Najib berkata, MTUC memperjuangkan dasar gaji minimum sejak 1998, namun pemimpin utama kerajaan ketika itu langsung tidak mengendahkan permintaan berkenaan, sekali gus menyaksikan golongan pekerja dibayar serendah RM400 sebulan.

FOTO Twitter Datuk Seri Najib Razak
FOTO Twitter Datuk Seri Najib Razak

“Tanpa perlu menunggu 22 tahun, saya mengumumkan kadar gaji RM900 untuk Semenanjung, manakala RM800 bagi Sabah dan Sarawak dilaksana menerusi Dasar Gaji Minimum Kebangsaan semasa membentangkan Bajet 2011 pada Oktober 2010.

“œSaya akan menaikkan gaji minimum ketika ini, iaitu RM1,000 untuk Semenanjung, manakala RM920 bagi Sabah dan Sarawak kepada kadar baharu yang akan diumumkan pada tahun ini juga.

“€œJika nak kadarnya lebih tinggi, kena undi dan bagi menang Barisan Nasional (BN) dululah,” katanya disahut sorakan gemuruh yang memenuhi segenap ruang Dewan Merdeka.

Menyentuh kepentingan memupuk keluarga bahagia, Najib berkata, kerajaan akan meminda undang-undang menerusi pembentangan di Parlimen, dijangka selewat-lewatnya awal tahun depan supaya cuti paterniti mandatori sekurang-kurangnya tiga hari diberikan kepada suami yang bekerja di sektor swasta.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju menambah peruntukan berjumlah RM60 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjadikan nilai keseluruhan dana bantuan interim agensi berkenaan bernilai RM182 juta.

“Susulan peruntukan tambahan ini, kadar bantuan interim untuk bulan pertama hingga ketiga, masing-masing ditingkatkan kepada RM1,000; RM800 dan RM600, selain pemberian program latihan bagi meningkatkan upaya kerja mereka,” katanya.

Mengakhiri bicara, Najib memperuntukkan dana RM210 juta melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bagi mentauliah 4,000 pekerja bagi program Diploma Skim Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (RPEL).

“Kalau kerajaan BN itu umpama bunga, maka warga pekerja ibarat tangkainya, justeru jangan sesekali terpesona dan tergoda dan menghirup madu di ‘bunga’ lain.

“Teruskan meyakini dan menikmati madu tulen daripada kelopak BN lagi menjadi penawarnya. Usahlah memilih ‘mata yang lebam’, kelak tersesat di hujung jalan.

“Walau apa pun, dari Langkawi ke Semporna, nasib pekerja akan dipertahan dan terus kita bela,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 12:52 PM