Mohd Husni Mohd Noor


INDEKS Gaji Kebangsaan (NWI) dilancarkan secara rasminya hari ini bagi mengukur perubahan gaji dan upah pekerjaan bagi sektor awam dan swasta di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, buat pertama kalinya, negara mempunyai indeks gaji kebangsaan sendiri sekali gus menjadi tanda aras bagi majikan dan syarikat untuk menentukan tahap gaji, membuat pelarasan gaji selain dijadikan input kepada dasar sumber manusia syarikat.

Beliau berkata, tahap gaji serta upah pekerja kebiasaannya subjektif dan ia tertakluk kepada keputusan syarikat dan majikan namun, NWI boleh dijadikan sebagai panduan kerana ia bersifat analisis terbuka dan telus.

“NWI juga boleh digunakan oleh kesatuan pekerja sebagai satu proses untuk meningkatkan gaji dan perjanjian bersama,” katanya pada sidang media selepas melancarkan NWI di Putrajaya, hari ini.

Katanya, kajian NWI sektor swasta adalah tinjauan yang dilakukan setiap suku tahunan membabitkan firma dan syarikat terpilih di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta semua sektor ekonomi utama negara termasuk pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

Kulasegaran berkata, bagi sektor awam pula, data diperoleh daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

KULASEGARAN mendengar penjelasan Wan Zulkifli ketika majlis pelancaran NWI. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KULASEGARAN mendengar penjelasan Wan Zulkifli ketika majlis pelancaran NWI. FOTO Mohd Fadli Hamzah

NWI dikeluarkan oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran buruh (ILMIA) dan ia dikeluarkan setiap suku tahun yang mana penerbitan seterusnya adalah pada suku kedua tahun 2019.

Sementara itu, Pengarah ILMIA Wan Zulkifli Wan Setapa berkata, NWI ditetapkan pada kadar 100 iaitu paras normial membabitkan lapan sektor utama iaitu indeks gaji minimum awam dan swasta; indeks gaji keseluruhan awam dan swasta; gaji asas mengikut wilayah; gaji keseluruhan mengikut wilayah; gaji asas mengikut pekerjaan; gaji keseluruhan mengikut pekerjaan; indeks gaji asas mengikut sektor ekonomi dan gaji keseluruhan mengikut sektor ekonomi.

“Kami tetapkan indeks pada kadar 100 yang mana kalau ia meningkat, sektor berkenaan dilihat baik dan kalau menurun bawah paras 100 maka, kerajaan patut lakukan sesuatu terhadap sektor berkenaan,” katanya.

Selain itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam ( CUEPACS) Datuk Azih Muda berkata, pihaknya menyambut baik pelancaran NWI kerana ia sangat baik dan memberi manfaat untuk negara, majikan dan pekerja khususnya dalam menangani kos sara hidup menerusi sistem penggajian.

“Selain itu, industri juga boleh mengukur bajet mereka sebelum mengambil tenaga kerja sekali tidak menghalang keuntungan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 3:46 PM