Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) beramah mesra bersama perwakilan yang hadir ketika majlis perasmian Persidangan Perwakilan MTUC di Auditorium Balai Ungku Aziz, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) beramah mesra bersama perwakilan yang hadir ketika majlis perasmian Persidangan Perwakilan MTUC di Auditorium Balai Ungku Aziz, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

Kuala Lumpur: Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu melantik wakil Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai Ahli Lembaga Pengarah mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu sebagai usaha menambah nilai ketelusan, selain membolehkan suara pekerja diambil kira dalam semua keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah.

"Menjadi harapan kerajaan supaya wakil pekerja berkenaan turut memainkan peranan dalam urusan pentadbiran nanti.

"Golongan pekerja seharusnya sama-sama menjaga kestabilan, perpaduan dan hubungan industri bukan hanya dalam kalangan pekerja tetapi juga kerajaan dan majikan bagi kejayaan proses pembangunan negara," katanya pada perasmian Persidangan Perwakilan MTUC 2022 kali ke-42 di sini hari.

Menurut Ismail Sabri, MTUC yang mewakili 16.5 juta pekerja di negara ini dianggap sebagai rakan kongsi kerajaan yang baik dan berperanan penting dalam membantu memulihkan ekonomi negara yang kini memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.

Berslogankan 'Pejuang Kaum Pekerja Sejak 1949', Ismail Sabri berkata, MTUC memperlihatkan peranan penting yang diterajui oleh golongan pekerja itu sendiri dan turut mendapat pengiktirafan kerajaan.

Katanya, berikutan itu, pegawai-pegawai MTUC telah diberi penghormatan menganggotai pelbagai badan berkanun dan khas termasuk Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Pengiktirafan ini membuktikan keyakinan dan kepercayaan kerajaan terhadap MTUC untuk bersama-sama menimbang serta menyuarakan masalah pekerja sekali gus membantu meningkatkan kebajikan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan geran tahunan RM4 juta kepada MTUC untuk melaksanakan program-program kesedaran dan latihan yang signifikan.

Ismail Sabri berkata, MTUC perlu mewujudkan pelan pendidikan lebih holistik, efektif dan komprehensif kepada ahli kesatuan gabungan di bawahnya serta diperluas kepada golongan pekerja Keluarga Malaysia yang lain.

"Peningkatan kemahiran dan latihan semula (reskilling and upskilling) adalah kunci yang penting dalam memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja yang berdaya saing.

"Saya yakin melalui pelan-pelan pendidikan yang strategik, MTUC boleh terus memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan pekerja yang dinamik," katanya.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, sebagai badan induk yang memperjuangkan hak dan nasib pekerja, MTUC perlu prihatin terhadap keperluan ahli-ahli kesatuan khususnya yang tergolong dalam kumpulan B40 dan kelompok miskin tegar.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, memahami keperluan pekerja dalam mengharungi kehidupan seharian, kerajaan bertegas melaksanakan gaji minimum pada 1 Mei lalu.

"Saya nak maklumkan bukan mudah untuk melaksanakan gaji minimum, majikan tidak bersetuju ia dilaksanakan selepas pandemik Covid-19, pelbagai alasan diberikan, ada yang minta naik secara berperingkat tetapi kerajaan bertegas kerana kita merasakan bahawa keadaan ekonomi hari ini tidak memungkinkan mereka untuk hidup dengan gaji kurang daripada RM1,500," katanya.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dan Timbalan Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani.

Persidangan Perwakilan MTUC kali ke-42 berlangsung dua hari bermula hari ini bakal menyaksikan pemilihan peneraju baharu kongres kesatuan sekerja itu bagi penggal 2023-2025.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 12:36 PM