Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Pembayaran gaji minimum yang diperkenalkan kerajaan setahun lalu dilihat tidak menurunkan jumlah kebergantungan negara terhadap pekerja asing di negara ini, sebaliknya pelaksanaan itu meningkatkan kedatangan mereka sehingga melebihi 55 peratus.

Perkara itu diakui Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang menyatakan Malaysia kini menjadi tumpuan warga asing untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan berbanding negara asal.

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata, sehingga kini seramai 2.8 juta warga asing memenuhi ruang pekerjaan di Malaysia dan angka ini meningkat sebanyak sejuta orang selepas penguatkuasaan pada Januari 2014.

“Sebelum 2013, hanya 1.8 juta warga asing yang berkerja di negara ini membabitkan pekerjaan sebagai keselamatan, buruh dan pelayan di premis makanan atau pasar raya.

“Peningkatan itu membuktikan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap warga asing tidak tercapai kerana mereka lagi tertarik datang ke Malaysia kerana gaji yang ditawarkan di sini lebih tinggi berbanding di negara mereka,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, usaha menarik keupayaan penduduk tempatan bekerja di sektor yang dahulunya tidak diminati seperti bahagian keselamatan, perladangan dan pertanian hanya menunjukkan kesan minimum.

“Sebenarnya, mereka tidak berminat bukan kerana faktor gaji tetapi status sosial pekerjaan itu yang dikira rendah bagi masyarakat tempatan biarpun segelintir majikan menawarkan gaji yang tinggi.

“Oleh itu, saya merasakan pekerjaan seperti itu memerlukan penjenamaan semula dan gaji dengan jawatan ditawarkan juga harus melayakkan seseorang mempunyai kemahiran yang disijilkan.

“Sebagai contohnya bekerja di bahagian keselamatan, seseorang perlu ada pensijilan yang tertentu dan gaji yang ditawarkan mengikut sijil dimiliki serta disahkan kerajaan,” katanya.

Dasar gaji minimum dilaksanakan mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) 2011 di bawah Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2013 yang menyelaraskan gaji minimum pekerja semua sektor.

Penetapan gaji minimum bagi sektor swasta diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 30 April 2012 dan diwartakan 16 Julai tahun sama pada kadar RM900 di Semenanjung, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah RM800.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 8:00 AM