ANGGOTA TLDM menguruskan pengebumian Allahyarham. (Gambar kecil) Allahyarham bersama isteri dan anak. FOTO ihsan TLDM
ANGGOTA TLDM menguruskan pengebumian Allahyarham. (Gambar kecil) Allahyarham bersama isteri dan anak. FOTO ihsan TLDM
Noor Hidayah Tanzizi


ANGGOTA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut manakala isteri dan dua anak cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 22 Jalan Teluk Intan-Bidor, Teluk Intan, 10.30 malam tadi.

Mangsa, Laskar Kanan Ridzwan Tarmizi, 33, yang bertugas di Pangkalan TLDM Lumut meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI) selepas parah di kepala.

Isterinya yang berusia 32 tahun pula patah kaki kanan manakala dua anak perempuan mangsa yang berusia tujuh dan tiga tahun juga patah kaki serta retak lutut kanan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan MPV jenis Toyota Ipsum yang dinaiki mangsa bersama isteri dan dua anak perempuannya dengan Toyota Hilux dinaiki dua lelaki.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah Teluk Intan menghala ke Bidor melalui selekoh sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan. Toyota Hilux itu merempuh kenderaan dinaiki mangsa sekeluarga secara berdepan.

"Pemandu dan penumpang Toyota Hilux berusia 40 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, semua mangsa dirawat di HTI dan pada 1.24 pagi, polis menerima maklumat bahawa anggota TLDM terbabit meninggal dunia semasa dirawat.

Sementara itu, sumber TLDM ketika dihubungi berkata, jenazah selamat dikebumikan di Kampung Teluk Nipah, Kota Kuala Muda, Kedah pada 3.30 petang hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 5:12 PM