Che Wan Badrul Alias


Kuala Lumpur: Memang terbukti berkesan apabila agenda digital ekonomi, khususnya menerusi program e-USAHAWAN dan e-REZEKI bukan hanya menaikkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah, malah berjaya melahirkan ramai jutawan dan jutawan muda.

Berdasarkan data Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk tiga tahun hingga Disember lalu, e-USAHAWAN iaitu program pembangunan usahawan digital menerima penyertaan 156,580 peserta dengan jumlah pendapatan dijana melebihi RM227 juta.

Sementara e-REZEKI sebagai platform membantu rakyat menjana pendapatan tambahan menerusi teknologi digital pula menyaksikan penyertaan 151,198 peserta sejak 2015 hingga Disember lalu dan menjana pendapatan RM112.9 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood berkata, pencapaian ekonomi digital sepanjang pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuktikan keberkesanan inisiatif kerajaan membangunkan taraf hidup rakyat dan memecah kitaran kemiskinan di negara ini.

Beliau berkata, sambutan golongan muda terhadap e-USAHAWAN juga mengagumkan khususnya dari Sabah dan Sarawak walaupun mereka memahami inisiatif itu tidak menjanjikan pemberian geran perniagaan.

YASMIN Mahmood. FOTO Aziah Azmee
YASMIN Mahmood. FOTO Aziah Azmee

“Kerajaan tidak beri geran satu sen pun dalam e-USAHAWAN kerana usahawan muda ini lebih menghargai ilmu perniagaan dan pemasaran dalam talian berbanding geran, kelak apabila perniagaan mula rancak dan memerlukan modal baru kami salurkan mereka ke geran yang sesuai.

“Tanpa visi dan sokongan Najib tidak mungkin semua inisiatif seperti e-REZEKI, e-USAHAWAN, pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri digital serta Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) akan berlaku kerana beliau the man di sebalik digital Malaysia.

“Beliau sendiri berkongsi pengetahuan dalam dunia digital dan Alhamdulillah beliau memahaminya kerana kita tahu industri ini bukan mudah difahami melainkan golongan muda yang sememangnya hidup segala-galanya dalam digital,” katanya.

Berdasarkan Laporan Program Transformasi Nasional (NTP), inisiatif e-USAHAWAN dan e-REZEKI diperkenalkan sebagai strategi pengukuhan ekonomi yang dapat membantu mengurangkan kelompok miskin bandar tegar dan meningkatkan taraf hidup isi rumah rakyat.

Bagi sektor meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah, laporan itu menyebut kadar kemiskinan nasional turun dengan ketara kepada 0.4 peratus pada 2016 daripada empat peratus pada 2009, dengan peningkatan dalam purata pendapatan bulanan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) kepada RM2,848 pada 2016 berbanding RM1,440 pada 2009.

E-REZEKI tarik 151,198 peserta sejak 2015. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
E-REZEKI tarik 151,198 peserta sejak 2015. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

Bahkan, hingga akhir tahun lalu, inisiatif program 1AZAM meningkatkan pendapatan keseluruhan 100,420 individu atau 91 peratus peserta program yang dipantau kepada sekurang-kurangnya RM300.

Data itu menunjukkan 30.48 peratus daripada peserta 1AZAM kini bukan lagi dikategorikan sebagai golongan miskin, sekali gus menyaksikan jumlah peserta dalam kategori miskin menurun kepada 58.69 peratus untuk 2016 berbanding 89.17 peratus pada 2009.

Sumbang satu juta peluang pekerjaan

Semakin meyakinkan apabila ekonomi digital dilihat bakal menyumbangkan tambahan lebih satu juta peluang pekerja baru dalam tempoh lima tahun akan datang.

Jumlah itu membuktikan matlamat manifesto Barisan Nasional (BN) mewujudkan tiga juta peluang pekerjaan baru dan berpendapatan tinggi realistik serta mampu dicapai.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood berkata, angka itu dijana berdasarkan simulasi tenaga kerja ekonomi digital menjelang 2025.

Beliau berkata, simulasi itu menunjukkan keperluan kritikal kepada tenaga kerja berkaitan ekonomi digital termasuk programmer, jurutera perisian dan pakar pengekod siber sekuriti yang ditakrifkan sebagai tenaga kerja berpendapatan tinggi.

“Soal peluang pekerjaan ini perlu dilihat dalam skop sektor ekonomi digital yang membukapeluang pekerjaan kerana kita kena memahami dunia mengalami revolusi besar tidak seperti dulu.

“Ekonomi digital diperjuangkan menjadi pemangkin perubahan kepada permintaan tenaga kerja dan peluang pekerjaan.

“Kita berdepan kekurangan tenaga kerja mencecah 10,000 dalam siber sekuriti dan perlukan 20,000 profesional data menjelang 2020, kerana itu kini ada anak muda berusia 25 tahun yang menerima bayaran gaji lima angka kerana mereka sangat bagus sebagai data saintis,” katanya.

NEGARA berdepan  kekurangan 10,000 tenaga kerja dalam siber sekuriti. FOTO Malai Rosmah Tuah
NEGARA berdepan kekurangan 10,000 tenaga kerja dalam siber sekuriti. FOTO Malai Rosmah Tuah

Mengulas lanjut, Yasmin berkata, selain membuka peluang pekerjaan baru dalam industri digital, aktiviti ekonomi negara dirangsang dengan kewujudan usahawan digital.

Menurutnya, kelompok itu golongan yang bukan saja pekerja digital, malah yang menggunakan platform digital untuk menjual secara e-dagang, perniagaan dalam talian dan pemasaran media sosial.

“Kerajaan bukan melihat kepada angka semata-mata, tetapi strategi kami menyediakan generasi muda yang kalis masa depan.

“Saya ingin tekankan di sini, saya bukan ahli politik, sebaliknya saya profesional swasta dalam industri teknologi, maka bagi saya jika kerajaan tidak beri penekanan dalam sektor ini dalam tempoh 10 tahun, Malaysia akan mundur kerana dunia kini menuju ke arah digital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 4:34 AM