NURLIYANA ketika dirujuk HKL, baru-baru ini.
NURLIYANA ketika dirujuk HKL, baru-baru ini.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Pesakit Para Tiroid, Nurliyana Abdul Raziff, 32, bakal menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan di bahagian mulutnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), esok.

Suaminya, Mohd Taufiq Abdullah, 42, berkata, keputusan itu dibuat selepas dia bersama isteri dan ibu mentuanya berbincang dengan doktor pakar dari Institut Urologi dan Nefrologi, HKL, semalam.

“Doktor pakar memaklumkan risiko untuk pembedahan memang tinggi. Namun, hasil perbincangan dengan beberapa doktor pakar lain, mereka memutuskan untuk melakukan pembedahan setempat saja di bahagian mulut.

“Liyana sendiri bersetuju untuk melakukan pembedahan dan kami sekeluarga tiada halangan dengan keputusannya itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Taufiq berkata, isterinya kini ditempatkan di HKL bagi memastikan tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik sebelum pembedahan dilakukan.

“Sekira badannya lemah, pihak hospital tidak dapat melakukan pembedahan dan terpaksa tunggu hingga kesihatannya kembali pulih.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban kami sekeluarga dan berharap Liyana dapat menjalani pembedahan dengan selamat,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penderitaan Liyana yang disahkan menghidap Para Tiroid sejak 2016 menyebabkan tulang rahangnya membesar dan bahagian dalam mulut terkeluar serta turut menjejaskan penglihatan.

Berat badannya turut menyusut daripada 55 kilogram kepada 23 kilogram manakala ketinggiannya turut menurun daripada 1.5 meter kepada 1.3 meter.

Sebelum ini, doktor pakar tidak mengesyorkan Liyana menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tiroid sebaliknya perlu mencari kaedah rawatan sesuai berikutan wanita itu menghidap masalah buah pinggang dan jantung.

Masalah kesihatan itu menyukarkan doktor pakar untuk menjalankan pembedahan kerana Liyana tidak boleh disuntik ubat bius atau diberikan ubat tidur berikutan keadaan jantungnya lemah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 6:31 AM