RAKYAT  tempatan diharap ambil peluang untuk terbabit sama dalam kerja pembinaan projek ECRL.
RAKYAT tempatan diharap ambil peluang untuk terbabit sama dalam kerja pembinaan projek ECRL.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dibangunkan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan kontraktor utamanya, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menyasarkan pengambilan 70 peratus pekerja tempatan, manakala 30 peratus lagi tenaga kerja dari China dan negara Asia lain.

Menurut jurucakap MRL, secara keseluruhannya, setakat ini 1,718 tenaga kerja pembinaan diperlukan bagi projek ECRL yang mana hanya 311 orang atau 18 peratus pekerja dari China.

Katanya, sepanjang Mac lalu lebih 2,000 pemohon menjalani temu duga melalui empat siri temu duga terbuka di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Lembah Klang, sekali gus membuktikan usaha pengambilan pekerja tempatan rancak dilakukan.

“Daripada jumlah itu, 115 pemohon dipilih untuk menyertai Program Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) manakala pemohon lain yang berjaya akan ditawarkan pekerjaan oleh CCCC atau subkontraktor projek ECRL,” katanya dalam kenyataan, semalam.

PLKI-ECRL adalah satu usaha sama antara MRL, CCCC dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk melatih dan menyerap secara automatik rakyat Malaysia yang berjaya menamatkan latihan dalam projek ECRL.

Program itu adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh CCCC, di mana syarikat pembinaan terkemuka itu menaja RM23 juta untuk menjalankan program latihan itu.

Program yang bermula sejak September tahun lalu itu menyaksikan 185 pelatih menamatkan latihan pada Januari dan Februari lalu dan menjawat pelbagai jawatan dalam MRL dan CCCC.

Pada masa sama, 244 pelatih kini menjalani program latihan berkenaan dan dijangka menamatkan latihan pada akhir April ini.

Sementara itu, dianggarkan 80,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung dijangka ditawarkan sepanjang tempoh pembinaan projek mega infrastruktur untuk rakyat itu.

Mengulas lanjut, katanya, pihak MRL turut berharap rakyat tempatan mengambil peluang untuk terbabit sama dalam kerja pembinaan projek ECRL kerana pemindahan kepakaran teknologi rel dari China dapat memberi manfaat untuk jangka panjang kepada negara.

Tambahnya, kontraktor utama ECRL turut memberi keutamaan kepada penggunaan bahan binaan dari syarikat tempatan dalam negara.

Setakat Februari lalu, 215 syarikat tempatan terbabit pembinaan projek infrastruktur ECRL iaitu 26 syarikat perunding, 99 syarikat pembekal dan 90 kontraktor tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 6:43 AM