PEMBINAAN projek ECRL di Tunjung, Kota Bharu.
PEMBINAAN projek ECRL di Tunjung, Kota Bharu.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menjangka nilai kontrak syarikat Bumiputera bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan terus meningkat menerusi kerja-kerja pembinaan landasan tolok duaan dari Stesen ECRL Pelabuhan Klang (Jalan Kastam) ke dermaga Westports dan Northport.

MRL berkata, usaha untuk memperkasa pembabitan Bumiputera dalam projek ECRL sentiasa menjadi keutamaan walaupun perkara ini tidak termaktub dalam perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) yang hanya mensyaratkan pembabitan syarikat tempatan.

"Pelbagai inisiatif dibuat bagi mencapai objektif seperti yang dinyatakan. Terkini, inisiatif tambahan yang sedang diambil oleh China Communications Construction Company Ltd (CCCC) adalah kerjasama dengan kerajaan negeri terbabit untuk pembabitan kontraktor Bumiputera kategori G1 dan G2 bagi skop kerja bersesuaian," katanya dalam kenyataan, kelmarin.

MRL berkata demikian bagi mengulas laporan data pembabitan kontraktor Bumiputera bagi pembinaan projek ECRL yang disiarkan portal berita, baru-baru ini.

CCCC dalam proses menyenarai pendek syarikat kontraktor Bumiputera G1 dan G2 yang disyorkan kerajaan negeri terbabit dan panggilan penyertaan tender akan dibuat dalam masa terdekat.

Setakat 30 November 2023, nilai kontrak bagi kerja-kerja pembinaan ECRL berjumlah RM13.64 bilion dianugerahkan kepada syarikat tempatan dan jumlah ini melepasi sasaran RM10.8 bilion yang dianggarkan bagi pelaksanaan projek dari 2017 hingga 2026, kata MRL.

"Jumlah ini merangkumi RM1.20 bilion bagi kerja-kerja kontrak projek ECRL di Kelantan, Terengganu (RM6.18 bilion), Pahang (RM5.62 bilion) dan Selangor sebanyak RM0.64 bilion, membabitkan sejumlah 2,801 syarikat tempatan secara keseluruhan.

"Daripada jumlah ini, kami ingin menjelaskan nilai kontrak dianugerahkan kepada kontraktor, perunding dan pembekal Bumiputera setakat 30 November 2023 sebanyak RM2.66 bilion atau 76.07 peratus daripada sasaran RM3.5 bilion," katanya.

Menurut MRL, daripada RM2.66 bilion, sebanyak RM1.69 bilion dianugerahkan kepada syarikat kontraktor Bumiputera, RM0.28 bilion kepada syarikat perunding Bumiputera dan RM0.69 bilion kepada syarikat pembekal Bumiputera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 7:01 AM