GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Tawau: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menghantar bantuan dua platun tentera dan 18 bot bagi memantapkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, perkara itu dimaklumkan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam satu sidang video, semalam.

"Kita tunggu bantuan dari ATM, ini (bantuan) adalah proses berterusan dan apabila ada tambahan anggota bertugas serta aset keselamatan, kita akan 'design' operasi mengikut kesesuaian berdasarkan ancaman.

"Kita ambil kira ancaman militan, kumpulan Abu Sayyaf serta kumpulan penculikan untuk wang tebusan selain menangani kemasukan pendatang haram yang terdedah Covid-19," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Pos Kawalan Inderasabah, di sini, hari ini.

Katanya, ketika ini terdapat hampir 1,000 anggota keselamatan terlibat dalam rancangan operasi membabitkan Operasi Cegah Pati (OCP) di lautan dan daratan, sekatan jalan raya (SJR) serta Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP).

"Kita mengenal pasti 70 kawasan tumpuan pendatang haram menyusup masuk melalui Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Kunak serta Tawau dan kita gerakkan 42 kapal serta bot ronda untuk memantau di perairan terbabit," katanya.

Menurut Ahmad Fuad, sehingga kini operasi khusus yang dijalankan berkesan dengan aktiviti penyusupan pendatang haram semakin berkurangan berdasarkan statistik pengusiran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) sejak April sehingga September lalu.

"Berlaku perbezaan ketara iaitu pada April sebanyak 1,400 pengusiran direkodkan berbanding 215 pada September. Hal ini juga dikukuhkan dengan radar pengesanan milik ATM merekodkan pengurangan bot pendatang haram," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan diharap dapat mempertimbangkan permohonan ESSCOM menambah aset udara bagi meningkatkan rondaan keselamatan di ESSZONE.

Terdahulu, Ahmad Fuad turut meninjau Pos Keselamatan di Wallace Bay dan Burs Points.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 5:16 PM