Mohamed Farid Noh dan Badrul Kamal Zakaria


“Saya percaya sepupu masih hidup kerana dia seorang yang amat kuat dan pernah ditinggalkan di atas kapal di laut selama dua bulan tanpa bekalan elektrik,” kata Arzizul Abd Rahman, 35, sepupu kepada seorang daripada kru kapal korek pasir yang terbalik di Pantai Leka, Parit Jawa, hari ini.

Sepupu Arzizul, Mohd Akashah Azizan, 25, atau dipanggil Aca adalah seorang daripada 14 kru yang dipercayai terperangkap di dalam kapal berkenaan.

Sehingga 8.20 malam tadi, mereka dipercayai masih hidup dan boleh berbalas ketukan dengan pasukan penyelamat di luar kapal berkenaan.

Arzizul ketika ditemui di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Pantai Leka berkata, pengalaman berharga Mohd Akashah yang masih bujang itu diharap mampu digunakan sebaiknya dalam keadaan sekarang.

Katanya, menerima berita sepupunya terbabit dalam kejadian kapal terbalik berkenaan, 10.30 pagi tadi menerusi kumpulan WhatsApp keluarga.

Menurutnya, semua ahli keluarganya terkejut dengan musibah berkenaan kerana tidak pernah menyangka pekerjaan Aca membawa pelbagai risiko termasuk kemungkinan kapal terbalik.

"Aca sudah tiga tahun bekerja dalam bidang perkapalan dan sering belayar ke luar negara termasuk berulang-alik antara Singapura,Hong Kong dan Jepun.

"Dua tahun lalu Aca pernah ditimpa pengalaman buruk apabila ditinggalkan di atas kapal tanpa bekalan elektrik selama hampir dua bulan sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dia berjaya menghubungi keluarga menerusi laman Facebook.

"Kami sekeluarga tawakkal dengan segala kemungkinan namun tetap berdoa dan yakin dia dapat diselamatkan. Keluarga Aca termasuk ibunya dari Changlun, Kedah, dalam perjalanan ke Muar, " katanya.

Hari ini, NSTP melaporkan seorang kru ditemui lemas manakala 14 lagi masih hilang selepas kapal korek pasir terbalik di kedudukan kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa, 7.50 pagi tadi.

Tiga lagi kru berjaya diselamatkan.

Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima panggilan kecemasan memaklumkan kapal berkenaan terbalik dengan 18 kru dipercayai terperangkap di dalam kapal itu, 8.50 pagi tadi.

Sementara itu, Arzizul berkata, Aca baru bekerja di syarikat perkapalan itu sebelum ditimpa musibah berkenaan.

Katanya, Aca pernah meminta nasihat darinya yang berpengalaman dengan syarikat cari gali minyak di pesisir pantai sama ada kerja itu sesuai untuknya atau tidak.

"Saya sempat menasihatkannya supaya mencari syarikat kapal yang baik dalam menjaga kebajikan pekerja sebab dia mempunyai pengalaman buruk dalam bidang berkenaan sebelum ini, " katanya.

Berita berkaitan:

Semoga ada sinar harapan

1 lemas, 14 hilang

[UPDATE] 50 anggota cari kru hilang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 9:19 PM
OPERASI  mencari kru selepas kapal korek pasir terbalik termasuk Mohd Akashah Azizan (gambar kecil). FOTO ihsan Maritim Malaysia/Facebook
OPERASI mencari kru selepas kapal korek pasir terbalik termasuk Mohd Akashah Azizan (gambar kecil). FOTO ihsan Maritim Malaysia/Facebook