Fasha (kanan, berdiri) bersama kru Mamu Mami Gosip.
Fasha (kanan, berdiri) bersama kru Mamu Mami Gosip.
Aidil anggap Fasha menghargai orang bekerja dengannya.
Aidil anggap Fasha menghargai orang bekerja dengannya.
Rudy Imran Shamsudin


PELAKON Aidil Aziz akui rapat dengan aktres jelita Fasha Sandha tetapi menegaskan hubungan mereka tidak membabitkan soal hati dan perasaan.

Gosip kononnya Aidil dan Fasha menjalinkan hubungan ‘istimewa’ mula hangat diperkatakan selepas sering dilihat bersama kebelakangan ini.

Terbaru, sewaktu kelab peminat Fasha mengadakan majlis menonton episod akhir drama bersiri Syurga Yang Kedua, Aidil yang tidak membintangi drama terbabit dilihat turut hadir.

Secara tidak langsung ia mengiyakan dakwaan bahawa Aidil dan Fasha sememangnya bercinta.

Ditemui hari ini, aktor yang akan muncul dalam drama bersiri Villa Ghazara dan ditayangkan di slot Akasia TV3, bagaimanapun menjelaskan, hubungan baiknya dengan Fasha sekadar sahabat dan tidak lebih daripada itu.

“Fasha sebenarnya penerbit untuk sitcom terbaru lakonan saya Mamu Mami Gosip yang bakal ditayangkan di RTM. Saya terbabit sebanyak 16 daripada 50 episod yang diterbitkan dan Fasha juga berlakon.

“Selaku penerbit, Fasha seorang sangat menghargai orang yang bekerja dengannya dan sering mengadakan majlis makan-makan. Selalunya kami bukan keluar berdua tetapi ramai.

“Mungkin disebabkan hanya saya dan Fasha dikenali menyebabkan ramai membuat andaian kami sedang ‘dating’ waktu itu,” katanya.

Aidil akui mereka berkawan baik sejak dia bekerja dengan Fasha untuk sitcom Mamu Mami Gosip.

Pada waktu sama, pengurusnya sebelum ini turut menguruskan beberapa projek membabitkan pelakon itu.

Kata Aidil itu secara tidak langsung membuatkan perkenalan mereka lebih akrab.

“Saya menghadiri majlis tayangan drama Syurga Yang Kedua, bagi menghormati jemputan Fasha. Kebetulan saya tidak sibuk pada hari itu dan mengapa tidak saya hadir untuk memberikan sokongan kepada kawan sendiri,” katanya.

Tegas Aidil lagi, sama juga seperti sebelum ini dia hadir bersama rakan lain yang turut dijemput Fasha. Cuma mereka tidak dikenali menyebabkan kehadirannya menjadi tumpuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 5:49 PM