ROZITA Che Wan. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
ROZITA Che Wan. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Ramlah Zainal

Pada usia 45 tahun, pelakon popular dan pengusaha produk kecantikan, Rozita Che Wan sudah memiliki segala-galanya dalam hidup.

Selain berjaya dalam karier, rumah tangga yang dibina bersama pelakon Zain Saidin juga bahagia.

Namun begitu, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta mendedahkan masih banyak impian ingin dicapainya.

“Kalau cakap soal impian, banyak lagi yang belum tercapai. Namun, saya tidak mahu berkongsi mengenainya buat masa ini,” katanya.

Mengenai sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-45 pada 9 Mac lalu di London, Che Ta berkata, dia mendapat keizinan suami tercinta untuk meraikan detik indah itu bersama keluarga di sana.

“Pada mulanya saya merancang menyambut hari jadi di Hong Kong dan Macau kerana suami ada urusan bisnes di China.

“Namun, semua adik-beradik tidak berminat untuk ke negara itu dan akhirnya saya putuskan untuk ke London,” katanya.

Ditanya apa hadiah hari jadi daripada Zain kali ini, Che Ta memaklumkan dia menerima beg tangan jenama Dior.

“Suami tahu saya suka beg tangan Dior dan akan beri sebagai hadiah hari jadi setiap tahun.

“Saya pelanggan tetap Dior sejak dulu,” katanya.

Rozita ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad yang berlangsung di hotel di sini, baru-baru ini.

Mengenai pelantikan itu, Che Ta menafikan dakwaan dia menerima bayaran jutaan ringgit.

“Saya ditawarkan untuk menjadi duta kira-kira tiga bulan lalu.

“Saya juga sudah mengkaji latar belakang syarikat pemaju terbabit dan ia syarikat yang berjaya.

“Saya juga ditawarkan untuk menjadi duta dengan harga berpatutan dan pada masa sama mereka memang mencari selebriti kelahiran Kedah,” katanya.

Selain duta Koperasi Tunas Muda, Rozita juga ditawarkan menjadi duta Ikon Jakel dan Ikon Anak Kedah.

Tolak watak ibu tua

Walaupun tidak banyak berlakon, pelakon drama Kiah Pekasam ini mengakui dia masih belum terfikir untuk bersara.

“Walaupun tidak banyak berlakon, orang tahu saya masih ada dalam bidang ini.

“Saya juga masih terbabit dalam bidang pengacaraan dan aktif di media sosial,” katanya.

Kata Rozita, bukan tiada tawaran berlakon tetapi dia terpaksa tolak berikutan watak yang diberikan tidak bersesuaian.

“Setiap watak termasuk antagonis akan beri impak pada diri kita.

“Saya juga terpaksa tolak watak ibu berusia 55 tahun kerana tidak mahu tua sebelum waktunya.

“Namun, saya masih boleh mempertimbangkan ibu yang berusia 45 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 4:43 AM