ROZITA pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Rysya.
ROZITA pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Rysya.
Oleh Ramlah Zainal

Walaupun pelbagai persepsi negatif dilemparkan terhadap Rozita Che Wan, 42, ia tidak pernah menjadi kudis. Bagi pelakon jelita ini, dia mampu hidup selesa dan mewah selepas menceburi dunia perniagaan.

Dia yang mesra disapa Che Ta berkata, minat terhadap bisnes sudah ada sebelum bergelar selebriti terkenal.

“Maklumlah, saya berasal dari keluarga bisnes. Sejak dulu saya memang tidak boleh duduk diam dan ada saja kerja dilakukan untuk menyara keluarga. Sebelum bergelar artis, saya menjahit baju dan manik untuk menambah pendapatan.

“Kini, saya sudah mampu tersenyum apabila memiliki empat bisnes iaitu tudung Padusi, syarikat produksi, Padusi Production dan minyak wangi.

“Sebagai wanita bergelar usahawan, saya ingin buktikan wanita tidak perlu bergantung dengan lelaki. Mereka juga boleh berjaya jika ada minat dan sanggup bekerja keras,” katanya.

Rozita turut menafikan dirinya suka menunjuk-nunjuk kemewahan dimiliki dengan memakai barangan berjenama mewah dan memuat naik gambar melancong ke luar negara di laman Instagram.

“Saya seorang yang sangat positif dan ingin menyerlahkan aura positif kepada orang lain. Harap apa yang dipaparkan itu dapat memberi motivasi kepada mereka.

“Saya mengupah jurugambar khas mengikut kami sekeluarga melancong untuk memastikan gambar yang dirakam cantik dan bukan untuk menunjuk-nunjuk,” katanya.

Ketika ditanya ada pihak mempertikaikan kemewahan yang dikecapi bersama keluarga hari ini, ibu kepada tiga anak ini tidak cepat melatah.

“Saya lebih suka melihat setiap perkara secara positif. Isu ini timbul mungkin kerana saya memperlahankan aktiviti seni dan lebih fokus pada bisnes. Terus terang, bisnes sumber pendapatan utama menyara keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rozita bercadang me­ngembangkan cabang bisnes sedia ada. Apatah lagi produk minyak wanginya, Precious by RCW mendapat sambutan memberansangkan di laman sosial Instagram apabila terjual 40,000 botol dalam masa dua hari.

“Selepas kejayaan Precious, saya melancarkan minyak wangi baru jenama Gorgeous by RCW pula. Selain itu, saya muncul dengan produk kecantikan sendiri tidak lama lagi,” katanya.

Rozita ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikannya sebagai duta produk Rysya yang berlangsung di Subang Jaya di sini, baru-baru ini.

Nafi manjakan anak dengan kemewahan

Gara-gara menghadiahkan putera sulungnya, Ammar Effendy jam tangan mewah sempena hari lahir yang ke-19 baru-baru ini, ada segelintir pihak mendakwa Rozita memanjakan anak dengan kemewahan.

Difahamkan, Rozita menghadiahkan jam tangan jenama Bell & Ross berharga RM15,800 kepada anak sulungnya pada majlis hari jadi di Restoran Hampshire place yang dihadiri kira-kira 100 tetamu.

Terdahulu, pelakon itu juga pernah menghadiahkan anaknya itu yang juga penuntut jurusan ekonomi di Universiti Help kereta mewah selepas mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Rozita bagaimanapun menafi keras dakwaan itu.

“Saya menghadiahkan anak barang mewah hanya pada majlis hari jadi dan jika cemerlang dalam peperiksaan SPM.

“Hadiah itu sebagai motivasi untuk mereka dan menunjukkan kita menghargai segala penat lelah mereka belajar siang malam.

“Maklumlah, ketika usia sebaya mereka banyak benda yang saya nak, tapi tak dapat kerana keluarga kami susah. Sebab itu saya tidak mahu mereka merasai apa yang saya lalui dulu,” katanya.

Selain Ammar, Rozita juga memiliki seorang lagi anak lelaki, Aniq Ezzra, 17. Hasil perkongsian hidup dengan pelakon Zain Saidin, Rozita dikurniakan cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana, 11 bulan.

Beralih perkembangan karier seni pula, kata Rozita, sudah dua tahun dia tidak berlakon dan dan berhenti seketika apabila melahirkan Aaisyah.

Baru-baru ini dia ditawarkan menjayakan drama yang membabitkan penggambaran di luar lembah Klang, namun berbelah hati meninggalkan anak yang akan menduduki peperiksaan bulan ini.

“Kalau ada watak menarik dan masanya sesuai, saya pertimbangkan tawaran berkenaan. Sebagai pelakon dan ahli perniagaan, saya ingin pastikan penat-lelah berbaloi kerana pendapatan sebulan berlakon hanya RM70 ribu, tetapi kalau buat bisnes, pendapatan mencecah RM200,000 sebulan,” katanya.

Selain Rysya, Rozita turut dilantik sebagai duta kepada 11 produk seperti Logivite, Jakel, Tropika, Stroler Mini Cooper, Idola dan jenama perabot yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:01 AM