SELEPAS lapan tahun menyepi, Nina Juren kembali mengubat rindu pada dunia lakonan.
SELEPAS lapan tahun menyepi, Nina Juren kembali mengubat rindu pada dunia lakonan.
Oleh Ramlah Zainal


Wataknya sebagai isteri yang curang dalam filem Lenjan arahan Ismail Yaacob masih diingati peminat sampai hari ini.

Ternyata, impak lakonan­nya dalam filem itu berjaya menempatkan pelakon jelita Datin Nina Juren sebaris dengan barisan pelakon handalan ketika itu.

Selepas berkahwin dan memiliki anak, Nina terus menyepi dari persada hiburan tempatan kerana memberi tumpuan pada rumah tangga.

Bagaimanapun, bidang seni sukar dipisahkan dari dirinya sampai hari ini. Hampir lapan tahun menyepikan diri, pemilik nama sebenar, Haznina Juren Haniff, 43, kembali mengubat rindu pada bidang lakonan.

Kali terakhir, dia berlakon menerusi penampilan khas dalam drama Impak Maksima The Series sebelum ini.

Kini Nina muncul dalam filem terbarunya berjudul Romeo Kota, Kes Fail: Kriptik sebagai andartu yang juga pengetua kolej.

Filem aksi komedi arahan Aaron Aziz terbitan Excellent Pictures ini akan ditayangkan mulai Khamis ini.

"Saya terima tawaran berlakon dalam filem ini kerana sukar menolak tawaran produsernya, Ahmad Idham. Maklumlah, kami sudah kenal sejak kecil lagi dan persahabatan juga terus terjalin erat sampailah sekarang.

"Pada masa sama, saya juga tertarik de­ngan watak andartu dan pengetua kolej yang jatuh hati dengan anggota polis yang menyamar sebagai pensyarah dalam filem itu.

"Walaupun sudah lama tidak berlakon filem, saya berusaha menjiwai watak dengan baik seperti dikehendaki skrip. Saya harap peminat akan menyukai lakonan yang ditampil­kan dalam filem itu," katanya.

Walaupun sibuk menguruskan rumah tangga, kata ibu kepada enam cahaya mata ini, dia tetap mengikuti perkembangan bidang hiburan tanah air sejak dulu.

"Saya memutuskan untuk kembali berlakon kerana anak-anak sudah besar dan mampu me­nguruskan diri sendiri. Saya juga puas dapat melihat mereka membesar depan mata.

"Terus terang, saya memang rindu untuk kembali berlakon dan bertemu rakan artis yang seangkatan dulu.

"Suami saya pun perasan, setiap kali selepas anak-anak masuk tidur, saya pasti menonton semua drama dan filem Melayu yang ditayangkan di kaca TV mahupun pawagam kerana tidak mahu terlepas perkembangan bidang seni," katanya.

Hasil perkahwinan­nya, Nina memiliki enam anak iaitu Heidi Ariana, 20; Mira Sethina, 18; Myra Jasmine, 18; Nina Melor, 16, Seth Imran, 11 dan Nina Jasmin, 10.

Tidak tolak watak ibu

Walaupun memutuskan untuk kembali berlakon, keutamaan Nina tetap pada rumah tangganya. Pada masa sama, dia juga tetap menjaga batasan sebagai isteri dan ibu dalam menerima sesuatu watak diserahkan.

"Jika nak diikutkan, suami tidak pernah menghalang saya berlakon selepas berkahwin. Namun, saya yang memilih untuk fokus pada rumah tangga sebelum ini.

"Kini, saya percaya, sampai masanya untuk saya kembali mewarnai bidang seni. Apapun, saya perlu menjaga batasan sesuai dengan status sebagai isteri dan ibu," katanya.

Ditanya dari segi watak, kata Nina, dia tidak menolak jika ditawarkan watak ibu atau wanita yang lebih berusia sesuai dengan kematangan­nya sekarang. "Saya harap watak yang ditawarkan biarlah sesuai dengan usia. Kalau ditawarkan watak ibu, biarlah yang memiliki anak-anak yang masih kecil dan bukan­nya hampir sebaya dengan usia pula," katanya.

Selain filem Romeo Kota, Nina juga baru selesai berlakon dalam drama bersiri sebanyak tujuh episod Jangan Lafaz Janji, baru-baru ini.

"Saya terima tawaran berlakon dalam drama itu kerana penerbitnya ialah kawan lama dan inilah masanya untuk saya berjumpa, sekali gus berta­nya khabar perkembangan rakan artis lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:00 AM