ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta dalam kemalangan di di Kilometer 259.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Seremban-Port Dickson, Seremban, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta dalam kemalangan di di Kilometer 259.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Seremban-Port Dickson, Seremban, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Mohd Amin Jalil


HASRAT dua beradik untuk menziarahi abang mereka yang membuat pemeriksaan rawatan kanser di Hospital Serdang, Selangor, tidak kesampaian apabila mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya menyebabkan seorang daripadanya maut, hari ini.

Kemalangan dipercayai berlaku pada 6.15 pagi di Kilometer 259.3, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Seremban-Port Dickson, Seremban.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan Mohd Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan terbabit 6.23 pagi.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, dua beradik itu, Low Yet Siong, 67, yang juga pemandu kereta Toyota Vios bersama Lok Kau, 74, dalam perjalanan dari rumah mereka di Tampin menuju ke Hospital Serdang.

Katanya, mereka menziarahi abang mereka yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Serdang bagi penyakit kanser.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Yet Siong hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di kawasan susur keluar Seremban-Port Dickson.

“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa berpusing dan terbabas di tengah jalan.

“Lok Kau yang duduk di kerusi penumpang tersepit di bahagian papan pemuka dan disahkan mati di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ).

“Manakala Yet Siong mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan dada serta dihantar ke HTJ dengan ambulans untuk menerima rawatan,” katanya.

Mohd Syazwan berkata, anggota bomba dari BBP Seremban 2 seramai 12 anggota mengambil masa 20 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 12:35 PM