Faliq Lajim


POLIS mengesahkan lelaki yang mati ditembak di perhentian bas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Serdang, Serdang, Khamis lalu, terbabit dengan kumpulan kongsi gelap Geng 08.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya tidak menafikan mangsa yang juga dikatakan pemilik sebuah restoran, berkemungkinan terbabit dengan aktiviti jenayah termasuk dadah.

“Kita lihat kejadian itu bermotifkan tertentu. Mereka ini adalah Geng 08 dan saya tidak nafikan ada pembabitan unsur pengedaran dadah dan sebagainya.

“Kita sedang melihat pada motif kejadian itu dan sedang menyiasat ke arah aktiviti dadah,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Latih Amal “Ex-Undi Per PRU Ke-14” di hadapan Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Mazlan bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai motif pembunuhan itu berikutan pihaknya sedang membuat siasatan dari seluruh aspek kejadian.

Katanya, penduduk juga tidak perlu gusar dengan kejadian tembak berkenaan berikutan kes pembunuhan mensasarkan mangsa.

“Kejadian tembak itu bermotifkan sasaran. Perkara itu berlaku disebabkan mangsa kebetulan ada di situ (hentian bas) ketika sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah.

“Mereka nampak peluang dan melepasakan tembakan di situ. Kita memang tak nak perkara itu berlaku dan percaya penjenayah akan ditumpaskan dalam sikit masa lagi,” katanya.

Pada 1 Mac lalu, media melaporkan G Ganeshan, 39, maut selepas ditembak dua lelaki yang menunggang motosikal di hentian bas ketika menunggu anak lelakinya, 8, selesai sesi persekolahan, dalam kejadian pada 5.45 petang.

Kejadian itu turut membabitkan seorang orang awam berusia 30-an yang terkena tembakan di bahagian belakang badan dan menerima rawatan di Hospital Serdang.

Media turut melaporkan terdapat lapan kelongsong peluru ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Mazlan berkata, kira-kira 16,000 pegawai dan anggota polis bersiap sedia untuk ditugaskan bagi mengawal keadaan sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), di Selangor.

“Latihan simulasi rusuhan sempena Ex Undi Per PRU pada pagi ini membabitkan 500 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), termasuk unit kuda dan lain-lain dibuat bagi menguji kekuatan pasukan polis sempena pilihan raya yang akan datang.

“Setakat ini saya berpuas hati, namun ada beberapa perlu dikemaskan tapi tidaklah terlalu rumit. Secara keseluruhanya, kita sudah bersedia,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Dengar empat, lima das tembakan'

Maut ditembak depan sekolah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 5:04 PM