PELAKON, Fathia Latiff. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON, Fathia Latiff. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Najiy Jefri


KEHADIRAN 2019 diharapkan dapat menutup segala cerita kurang enak yang pernah singgah dalam hidup Fathia Latiff.

Biarlah apa yang dilalui sepanjang tahun lalu itu menjadi pengajaran dan mendewasakan dirinya untuk menjadi insan lebih baik.

“Apa yang sudah berlaku biarlah ia berlalu kerana saya ingin menempuh fasa baru tahun ini. Saya akui kehidupan tahun lalu boleh diibaratkan seperti ‘roller coaster’ apabila banyak perkara yang dilalui seorang diri selain perlu kuat mendepani segala ujian yang mendatang.

“Bagaimanapun, tahun ini saya mengharapkan perjalanan hidup saya dipermudahkan dan berjalan dengan baik. Tiada sebarang janji tetapi akan cuba sehabis baik memperbaiki diri dan masih menjadi diri sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak mengatakan kehidupan lalunya penuh dengan cerita kurang enak disebabkan pergaulan dengan rakan yang tidak betul, Fathia enggan mengulas.

“Saya tiada komen mengenai soalan itu. Saya sayang semua kawan. Merekalah peneman setia dan tempat saya mengadu nasib. Jadi saya tidak mahu menyalahkan sesiapa sebaliknya biarlah hanya saya yang berdepan segala masalah seorang diri,” katanya.

Siapa sangka, selepas hampir dua tahun tidak menerima sebarang tawaran lakonan, pelakon yang terkenal menerusi drama Diandra itu kembali mewarnai industri lakonan.

Fathia yang sebelum ini dikatakan digam beberapa stesen televisyen menolak dakwaan itu dan mendakwa ia hanya khabar angin.

“Apa yang saya dengar sebelum ini tidak betul dan tidak pernah berlaku. Alhamdulillah sepanjang dua tahun tidak berlakon saya cuba untuk membersihkan nama dan mengenali diri.

“Saya akui menjadi seorang pelakon yang bermain dengan banyak karakter, saya perlukan masa untuk berehat selain meluangkan masa bersama keluarga supaya kembali dengan semangat baru,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fathia bakal muncul dengan telefilem Kipas Sebelum Mati terbitan Zeel Production di saluran Astro Citra.

Selain Fathia, telefilem arahan Azmi Hatta itu turut dibintangi Nad Zainal, Aman Aziz, Bob Yusof, Dottie dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 12:00 PM