PEMANDU teksi Lapangan Terbang Sandakan menunggu penumpang. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
PEMANDU teksi Lapangan Terbang Sandakan menunggu penumpang. FOTO HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: "Kami tertekan sekarang ini. Pendapatan kami satu minggu RM12. Kadangkala tiada langsung," kata Pengerusi Persatuan Teksi Lapangan Terbang Sandakan Mukarammah Abd Rahim ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, sejak wabak pandemik Covid-19 melanda negara ini, pendapatan mereka sebagai pemandu teksi terjejas teruk.

Mukarammah berkata, keadaan itu semakin teruk apabila kenderaan e-hailing turut beroperasi di lapangan terbang terbabit.

"Seperti umum ketahui, kenderaan e-hailing tidak dibenarkan beroperasi dalam lapangan terbang namun ia masih berlaku di sini.

"Ia sebenarnya mengganggu pendapatan kami sedangkan kami hanya boleh mengambil penumpang di kawasan ini sahaja.

"Kami tidak boleh mengambil penumpang di kawasan lain. Jika tidak kami akan disaman. Permit kami berisiko ditarik balik," katanya.

Menurutnya, pemandu teksi lapangan terbang diwajibkan berada di kawasan itu kerana mereka mempunyai perjanjian.

"Kami patuh dengan peraturan dan kekal menunggu di sini. Tetapi dalam satu minggu belum tentu ada teksi yang berjaya menerima penumpang.

"Sudah banyak kali berlaku. Dalam seminggu kadangkala kami menerima sekali penghantaran dan mendapat pendapatan sebanyak RM12.

"Bayangkan keperitan yang kami hadapi. Hanya sebuah teksi yang bergerak dalam seminggu," katanya.

Pemandu teksi Arshad Gabun berkata, jika diimbas sebelum wujud perkhidmatan kenderaan e-hailing, pendapatan mereka mencecah RM100 sehari.

"Namun apabila kenderaan e-hailing wujud, pendapatan kami merudum kepada RM60 sehari.

"Pada ketika ini pula belum tentu kami dapat penumpang dalam seminggu kerana kewujudan e-hailing beroperasi di lapangan terbang ini," katanya.

Rakannya, Ali Basah Nusol berkata, pihaknya bukan berniat menghalang rezeki mana-mana pihak.

"Tetapi kenderaan e-hailing seharusnya bertoleransi terhadap kami.

"Kami hanya boleh mencari nafkah di sini. Inilah satu-satunya tempat kami boleh mendapatkan sumber makanan.

"Bayangkan ketika ini dengan ketiadaan pelancong, penerbangan kurang, ditambah lagi dengan kehadiran e-hailing.

"Bagaimanalah kami hendak mencari rezeki dengan keadaan sedemikian rupa," katanya.

Justeru, beliau berharap pihak berkaitan dapat memantau aktiviti e-hailing di kawasan Lapangan Terbang Sandakan selain berharap pemimpin setempat membantu situasi dihadapi pemandu teksi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 2:19 PM