KEADAAN mangsa yang meninggal dunia di lokasi.
KEADAAN mangsa yang meninggal dunia di lokasi.

Sungai Besar: “Minggu lalu, ibu kelihatan gembira melihat kami sekeluarga berkumpul selain sentiasa mengingatkan menjaga solat lima waktu dan tingkah laku,” kata Saiful Nasri Sipor, 38.

Saiful Nasri anak kepada Muslihah Damanhuri, 61, yang meninggal dunia pada kemalangan di simpang tiga Masjid An-Nur, pekan Selasa Lama, Sungai Haji Dorani di sini, kelmarin.

Pada kejadian jam 9.15 malam, Muslihah yang menunggang Honda Wave bersendirian dipercayai dirempuh remaja lelaki berusia 19 tahun yang menunggang Modenas Dinamik ketika keluar dari masjid berkenaan.

Muslihah meninggal dunia di lokasi manakala remaja lelaki itu cedera.

Saiful Nasri yang juga anak ketiga daripada empat beradik berkata, arwah tegas dan tidak gemar bersembang kosong kecuali perkara penting.

“Kami cukup mengenali sikap ibu yang kurang bercakap malah ibu juga tidak suka berdiam diri dan pernah bekerja di beberapa kedai termasuk menyertai bengkel pembuatan kuih tradisional bagi mengisi masa lapang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa mengesahkan kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 3:12 AM