Noor Hashim (kanan) menunjukkan pisau lipat yang digunakan suspek. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Noor Hashim (kanan) menunjukkan pisau lipat yang digunakan suspek. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Izlaily Nurul Ain Hussein


GERAM kerana rakannya membuat bising sehingga mengganggu tidurnya, seorang lelaki bertindak menikam bahagian kiri kepala lelaki warga Indonesia itu menyebabkannya cedera sebelum dia ditahan polis dalam kejadian di sebuah hostel pekerja di Taman Nusa Bestari, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa berusia 20an luka pada bahagian kepala kiri di belakang telinganya sepanjang 4 sentimeter (cm) serta lengan kiri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, sebelum kejadian itu, mangsa dan dua lagi rakannya sedang bermain permainan video dan dikatakan mengganggu suspek yang sedang tidur dalam sebuah bilik di hostel berkenaan.

“Akibat tidak berpuas hati dengan bunyi bising, suspek tiba-tiba datang dari bilik sebelah dan bertindak menikam mangsa dengan menggunakan sebilah pisau lipat sebelum masuk semula ke dalam biliknya untuk sambung tidur.

"Mangsa yang mengalami pendarahan kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, hari ini.

Menurut Noor Hashim, susulan kejadian itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian pada jam 7.30 pagi sebelum berjaya menahan suspek lelaki berusia 39 tahun yang juga warga tempatan itu.

Katanya, polis turut merampas pisau lipat berukuran kira-kira 15cm dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya," katanya.

Kedua-dua mangsa dan suspek bekerja sebagai penjaga kedai komputer.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 4:41 PM