DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Daerah Kulai,  Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar (kiri) menunjukkan lakaran muka dua suspek kes bunuh warga emas di Senai.
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar (kiri) menunjukkan lakaran muka dua suspek kes bunuh warga emas di Senai.
Nurul Amanina Suhaini


POLIS menahan tiga warga Indonesia termasuk suami isteri susulan kes bunuh seorang warga emas di Senai, Kulai, Rabu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pasangan berusia 21 tahun dan lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Damansara, Petaling Jaya, Selangor, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Katanya, kenderaan mewah Toyota Alphard yang dilarikan pada hari kejadian turut ditemukan di Taman Nusa Bestari, Skudai, dekat sini.

“Kejayaan tangkapan adalah hasil kerjasama rakan media yang menyebarkan maklumat orang dikehendaki pihak polis.

“Hasil soal siasat awal yang dilakukan, suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu.

“Motif kejadian bunuh adalah kerana suspek tidak puas hati terhadap mangsa iaitu majikannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 Mac dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, seorang warga emas berusia 73 tahun disyaki dibunuh oleh dua pembantu rumahnya yang baharu 10 hari bekerja di sebuah banglo di Senai.

Dalam kejadian 5.50 petang itu, warga emas itu ditemui mati dengan kecederaan di kepala selepas anak serta jirannya membuat laporan polis berikutan gagal menghubungi wanita berkenaan.

Ayob Khan berkata, polis dikejarkan ke rumah warga emas berkenaan selepas menerima laporan menemukan mayat di ruang tamu banglo berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama dua suspek yang juga suami isteri sebagai pembantu rumah dan pembantu peribadinya.

Dalam kejadian itu, Toyota Alphard dan beberapa barang kemas milik mangsa turut dilarikan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 7:00 PM