RUHAINIES. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
RUHAINIES. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Norhayati Nordin

Terpalit dengan pelbagai cerita sensasi dan gosip percintaan pada awal kemunculannya cukup mematangkan pelakon jelita Ruhainies.

Pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 26, ini bagaimanapun lebih selesa memilih untuk bersikap terbuka.

“Terus terang, siapa yang mahu dikenali masyarakat dengan gosip dan cerita sensasi berkaitan peribadi sendiri.

“Apapun, inilah pengalaman dan ia diakui banyak mengajar saya untuk jadi lebih bijak dan kena sentiasa berhati-hati. Dengan apa yang pernah dilalui dulu, saya tidak mahu perkara itu berlaku lagi. Cukup-cukuplah.

“Justeru, kini apa saja yang saya buat tidak akan pernah dilupakan untuk beringat. Bagi saya, niat kena bersih dan jujur,” katanya.

Mengambil iktibar daripada apa yang pernah berlaku, pelakon kian meningkat dengan drama Menantu Ting Tong di TV3 ini memberitahu, dia yakin ada hikmahnya.

Berbicara mengenai kerjaya lakonannya, adik pelakon Risteena Munim ini berkata, tahun lalu adalah perjalanan yang baik buatnya.

“Coretan karier lakonan saya sepanjang 2017 sangat baik dan rezeki pun tidak putus diterima. Banyak pengalaman baru dalam kerjaya lakonan yang saya timba berbanding dua tahun sebelumnya ketika mula mengatur langkah dulu.

“Syukur alhamdulillah, disebabkan tawaran datang bersilih ganti saya sampai sekarang belum berpeluang bercuti.

“Masa saya memang tertumpu pada aktiviti lakonan di lokasi penggambaran dan inilah rezeki yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Ruhainies, dia melihat sekarang adalah masa buat dirinya menstabilkan sumber pendapatan.

“Melalui peluang dimiliki ini, saya perlu hargainya sebaik mungkin dan tumpu perhatian mengumpul wang untuk jaminan masa depan.

“Bukan hanya untuk diri sendiri tetapi paling utama pendapatan itu juga dapat dikongsi bersama keluarga,” katanya.

Mengulas perancangan sempena 2018, Ruhainies memberitahu ada banyak yang difikirkannya.

Antaranya, dia mahu lebih fokus mencipta nama dan cuba benda baru yang belum pernah dilakukannya untuk menambah pengalaman.

“Dua tahun dalam industri seni ini, saya masih mentah. Malah, dalam bidang lakonan banyak watak yang belum saya cuba lagi.

“Apa yang diharapkan ialah saya dapat keluar daripada zon selesa dan dikenali sebagai selebriti serba boleh,” katanya.

Menurut Ruhainies, selain lakonan dia juga mahu aktif dalam perniagaan kerana minat yang sudah lama dipupuk.

“Saya memang minat berniaga tetapi perlu mengatur strategi yang betul untuk memastikan perniagaan berjaya.

“Kini, saya masih mencari idea baru untuk perniagaan dan yang pasti ia tidak akan dilakukan terburu-buru,” katanya.

Ruhainies yang memiliki kulit putih dan mulus bagaimanapun sebelum ini pernah memperkenalkan produk kecantikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 5:51 AM