BERNAMA

Abdul Manaf Mohd Noh, 81, atau Tok Manaf yang menjalani pembedahan jantung terbuka di hospital di Seoul, Korea Selatan pada 4 Disember lalu ketika bercuti di negara itu, selamat tiba di Malaysia hari ini.

Dalam satu kenyataan, anaknya, Mahfiz Abdul yang turut sama dalam percutian itu berkata, bapanya dibawa ke Hospital Serdang sejurus tiba di tanah air bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kisah warga emas itu tular apabila dia terkandas di sebuah hospital di Korea Selatan selepas bil rawatannya meningkat di luar kawalan selepas menjalani pembedahan tersebut.

Menurut Mahfiz, anggota keluarganya menggabungkan semua sumber kewangan yang ada selain membuat pinjaman peribadi untuk membayar sepenuhnya bil berkenaan sebelum Abdul Manaf dibenarkan dibawa keluar dari hospital.

“Rawatan selama 24 hari di hospital itu dan segala urusan untuk membawa bapa pulang menelan belanja kira-kira RM1.3 juta.

“Bil rawatan dibayar sepenuhnya menggunakan sumber kewangan daripada keluarga, saudara, sahabat, pinjaman peribadi, badan amal serta sumbangan orang ramai,” katanya.

Sehubungan itu, Mahfiz berkata, kutipan sumbangan daripada orang ramai ditutup serta-merta memandangkan bapanya selamat pulang ke Malaysia.

Berita berkaitan

Dah bayar RM475,000, perlu lebih RM300,000 lagi

Bil hospital semakin meningkat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 10:54 PM