Shaiffulazhar Misri


Melaka: “Pada mulanya saya hanya menyediakan ‘sambal gesek’ ini sebagai bekalan kepada ahli keluarga bercuti ke luar negara bersama kumpulan ‘backpackers’, sebelum timbul idea untuk mengkomersialkannya.

“Alhamdulillah selepas sebulan dipasarkan menerusi media sosial saya sudah menerima 300 tempahan termasuk daripada pelanggan di luar Melaka,” kata Misliyana Hashim, 38, pengusaha produk makanan tradisional Sambal Gesek Berapi Dak Som.

Ibu kepada dua anak berusia 16 dan 19 tahun itu berkata, makanan tradisional itu sebenarnya sambal ikan bilis yang popular di beberapa negeri lain seperti Negeri Sembilan, namun keluarganya menggelarkan menu itu sebagai sambal gesek.

Katanya, bahan utama untuk menyediakan makanan tradisional itu adalah cili dan beberapa ramuan lain termasuk garam dan ikan bilis yang ditumbuk sehingga lumat sebelum dimasak.

“Saya cuba jual produk ini kepada rakan di pejabat, syukur kerana mendapat maklum balas amat baik malah ada dalam kalangan mereka membuat tempahan kerana berpuas hati dengan keenakannya.

“Seperti sambal lain, produk saya ini boleh tahan sehingga seminggu jika disimpan dalam peti sejuk,” katanya ketika ditemui, di rumahnya di Tiang Dua, Ayer Molek di sini, kelmarin.

Kerani akaun itu berkata, dia menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar tempahan diterima daripada pelanggan di Perak, Terengganu, Kuala Lumpur dan Sarawak, selain giat memasarkan produk dihasilkan ke beberapa kedai runcit sekitar daerah Melaka Tengah.

Meskipun, menerima tempahan dalam jumlah banyak, Misliyana tetap menjaga kualiti produk dihasilkan kerana risau pelanggan merajuk sekiranya menerima sambal gesek yang sudah tidak elok.

“Setakat ini, proses menghasilkan sambal gesek ini menggunakan kaedah tradisional, ia ditawarkan dalam bentuk bungkusan 120 dan 360 gram dengan harga permulaan serendah RM5 saja,” katanya.

Beliau berkata, jika produknya terus mendapat sambutan dia bercadang mengusahakan tanaman cili yang juga bahan utama dalam menghasilkan sambal gesek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 5:56 AM