MOHD Hazri (kiri) bersama rakan kongsi, Nazmi bangunkan produk sambal.
MOHD Hazri (kiri) bersama rakan kongsi, Nazmi bangunkan produk sambal.
SAMBAL Totok Jawe enak dimakan bersama ubi rebus.
SAMBAL Totok Jawe enak dimakan bersama ubi rebus.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Membina produk jarang dikenali antara cabaran yang perlu dihadapi ramai usahawan.

Apatah lagi menu diketengahkan hanya mampu dinikmati segelintir golongan.

Namun, bagi dua anak muda dari Batu Pahat, Johor, tiada apa yang mustahil untuk direalisasikan asalkan ada keinginan untuk mencuba.

Dua anak muda itu adalah Mohd Hazri Misian, 31, dan Nazmi Ismail@Wahid, 31.

Justeru, bagi mencari peluang perniagaan, mereka mempertaruhkan nasib dengan menjenamakan produk sambal totok.

Kedengaran agak ganjil dan seperti tiada nilai komersial, menu tradisi masyarakat Jawa ini ada tarikan tersendiri.

Buktinya, produk jenama ‘Sambal Totok Jawe’ itu memasuki pasaran tempatan terutama di Johor dan Kuala Lumpur.

Menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D), dua rakan ini mempertingkatkan kualiti sambal mereka.

Jika dulu, sambal yang dibangunkan hanya untuk dimakan bersama ubi rebus, kini kegunaannya dipelbagaikan.

Sambal yang sedia untuk dimakan itu boleh dijadikan perencah nasi, mi goreng dan sayuran.

Bagi Mohd Hazri yang juga pengurus syarikat Cashdu Dinar Enterprise, idea membangunkan makanan tradisi itu berlaku secara tidak sengaja.

“Ketika itu kami menikmati ABC di Jalan Omar, Batu Pahat, Johor.

“Secara tidak sengaja, seorang daripada kami terfikir untuk membangunkan sambal ini,” katanya.

Mohd Hazri yang berniaga sate Warisan Wak Kasdu berkata, resipi sambal itu warisan keluarganya.

“Bahan asasnya mudah, hanya bawang dan cili padi, namun dipertingkatkan dengan meletakkan ikan bilis untuk menjadikan resipi kami lebih mantap dan sedap,” katanya.

Sambal Totok Jawe ini digemari penggemar makanan pedas.

“Paling mustahak produk kami sihat kerana tidak menggunakan bahan pengawet, pewarna dan MSG.

“Kami sedia membantu mereka menyediakan makanan dengan cepat, mudah dan menyelerakan,” katanya.

Dengan modal RM6,000, mereka menghasilkan sambal totok yang kini beroperasi di Taman Soga, Batu Pahat.

Sepanjang ditubuhkan Julai tahun lalu, syarikat itu mendapat bimbingan MARDI di Serdang dan Johor Bahru, Jabatan Pertanian Batu Pahat dan FAMA Daerah Batu Pahat.

Layari Facebook: Produk Warisan Wak Kasdu dan e-mel [email protected] untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 10:30 AM