SISSY Imann. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
SISSY Imann. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin


Walaupun masih bertatih membina nama, bakat dimiliki penyanyi, pemuzik dan komposer muda, Sissy Imann Mohammad Kamil, 22, kian menyerlah.

Ini kerana, dalam diam bakat Sissy makin mendapat perhatian pemuzik daripada luar negara yang ingin bekerjasama dengannya.

Apatah lagi, baru-baru ini Sissy bekerjasama dengan kumpulan pemuzik dari Indonesia dan lepas itu dia akan bersama pemuzik Jepun pula.

Ditemui pada sesi fotografi diatur Selebriti Metro Ahad, dia berkata, kerjasamanya dengan kumpulan pemuzik dari Jepun akan berlangsung pada 31 Januari ini di Publika, Kuala Lumpur.

“Saya mengharapkan kedatangan 2018 ini dengan impian karier seni akan lebih menyerlah dengan pelbagai peluang diperoleh.

“Selagi ada ruang dan peluang, saya akan terus mencuba dan berusaha kerana sentiasa yakin pada rezeki.

“Tambahan pula, saya sentiasa berpegang rezeki Allah itu tidak pernah salah buat hamba-Nya. Jika memang sudah ditetapkan milik saya, maka seharusnya bersyukur. Apa pun, restu ibu bapa tetap penting,” katanya.

Masih menuntut dalam semester akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas di Cheras, Kuala Lumpur, Sissy juga cemerlang dalam pengajian.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berjaya meraih Anugerah Dekan sepanjang lapan semester pengajiannya walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti seni.

“Selain muzik yang memang menjadi minat saya, pelajaran juga menjadi keutamaan. Jadi, saya mahu berjaya untuk kedua-duanya.

“Pelajaran tidak boleh diambil mudah kerana menimba ilmu itu seronok dan banyak manfaatnya untuk kehidupan.

“Tambahan pula, mana tahu ada rezeki saya untuk membina karier sebagai guru kerana latihan amali pun sudah dilakukan,” katanya.

Menurut Sissy, menjadi guru juga adalah cita-citanya selain dia juga sudah lama mengajar muzik di rumah.

Turut mengembangkan bakatnya dalam pengacaraan, Sissy sudah mengacara program Joox Singgah Sat selama dua musim diikuti Joox Unplugged sebanyak lapan episod.

Berbicara lanjut untuk kerjayanya pada 2018 nanti, Sissy berkata, dia melihat peluang untuk lebih menyerlah tetap ada.

“Sebenarnya jika apa yang dirancang menjadi, saya berkemungkinan akan bekerjasama menghasilkan karya duet.

“Malah, saya juga akan terbabit dalam satu program besar bersama seorang penyanyi popular tanah air.

“Apa program itu dan siapa penyanyinya, saya tidak boleh ceritakan sekarang kerana berpegang pada janji. Saya pun tidak sangka penyanyi itu sudi memilih untuk bekerjasama dengan saya kerana yakin dengan bakat dimiliki,” katanya.

 SISSY Imann. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
SISSY Imann. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Sissy berkata, selain aktif menghasilkan karya untuk nyanyian sendiri, dia juga bersedia mencipta lagu buat penyanyi lain.

Menurut anak jati ibu kota ini, dia tidak lokek berkongsi karya demi matlamat bersama memperkasakan industri muzik tanah air.

Selesa ditemani ibu bapa

Mula dikenali dengan lagu Mungkin Kamu hasil ciptaannya sendiri, Sissy pernah menang anugerah Lagu/ OST Pilihan di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016).

Sissy kemudian muncul dengan single Keliru dan kini mempertaruhkan single Jatuh juga hasil ciptaannya.

Memiliki kelunakan vokal yang klasik, tidak dinafikan kebanyakan lagu Sissy lebih menjurus kepada genre muzik jazz.

Sissy berkata, dia sentiasa kreatif dalam penyampaian persembahan nyanyiannya untuk hiburan pendengar.

Selain itu, apa yang menarik mengenai Sissy ialah hubungan rapatnya dengan bapa, Mohammad Kamil Mustaffa, 54, dan ibu, Zuraidah Yazid, 48.

Walaupun sudah mampu berdikari tetapi gadis manis ini selesa di mana saja dia berada ibu dan bapanya sentiasa di sisi.

“Saya tidak kisah pun kalau dilabelkan anak manja. Ini kerana, memang sangat selesa apabila mereka ada bersama kerana saya rasa lebih selamat. Walaupun saya tahu mereka percaya saya boleh menjaga diri tetapi lagi seronok kalau mereka ada bersama,” katanya.

Menurut Sissy, apabila ibu dan bapanya sentiasa di sisi secara tidak langsung dia juga terhindar daripada cerita sensasi.

“Saya tidak kesah jika perlu merangkak perlahan-lahan untuk membina karier ini asalkan masyarakat mengenali saya dengan bakat.

“Bagi saya, dikenali dengan bakat lebih memberikan kepuasan kerana penilaian masyarakat berpandukan hasil kerja dipersembahkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 3:58 AM