SISSY teruja single Bebas nyanyiannya dipilih jadi lagu OST drama di TV3. FOTO ROHANIS SHUKRI
SISSY teruja single Bebas nyanyiannya dipilih jadi lagu OST drama di TV3. FOTO ROHANIS SHUKRI
Norhayati Nordin


WALAUPUN kehidupan masyarakat Malaysia kini didasari prosedur operasi standard (SOP) dalam norma baharu, namun, penyanyi Sissy Imaan, 26, tetap aktif dalam kerjaya nyanyiannya.

Ia dibuktikan Sissy yang juga dikenali sebagai pelakon, pengacara, komposer, pemuzik dan guru vokal ini dengan kemunculan single terbaharunya, Bebas hasil ciptaan dan lirik oleh Mas Dewangga, Jova Devito dan Aden King.

Sissy berkata, dia sebenarnya tidak menduga akan tampil juga dengan lagu baharu sekali lagi selepas tahun lalu hadir mempertaruhkan single Bisa Mencinta.

"Sejak 11 Jun lalu, Bebas sudah dilancarkan. Lebih istimewa, ia juga dipilih menjadi lagu runut bunyi (OST) untuk drama Perisik Cinta Tak Diundang di TV3.

"Ketika pandemik Covid-19 yang masih menular ini, rezeki menjadi lagu OST drama, bagi saya satu peluang keemasan. Apatah lagi, segala urusan promosi dan publisiti untuk single baharu berdepan kekangan.

"Namun, saya sangat bersyukur dapat tampil dengan karya baharu ini buat pendengar muzik tempatan. Malah, boleh dikata sudah tiga tahun berturut-turut saya dapat lancarkan single baharu," katanya.

Menurut Sissy, pada 2019 dia hadir dengan dua single buat peminat iaitu Pesanan Ayahanda yang istimewa buat bapanya dan satu lagi berjudul Sudahlah (Meow!).

Berbicara mengenai single Bebas, Sissy berkata, ia mengisahkan seorang wanita yang inginkan kebebasan dalam mencari erti sebenar kehidupan dan tidak mahu terus dikongkong terutama bagi mendapatkan cinta abadinya.

"Lagu ini sangat sesuai bagi wanita yang mungkin masih berusaha mencari cinta. Walaupun lagu ini bersifat umum, tapi saya sudah berusaha merakamkan Bebas sebaiknya mengikut cara tersendiri.

"Ditambah pula, ia lagu OST drama dan saya perlu memastikan setiap emosi serta rasa dalam single Bebas ini dapat dinikmati sepenuhnya oleh pendengar dan penonton drama itu nanti," katanya.

Perisik Cinta Tak Diundang dibintangi Andi Bernadee, Shiha Zikir, Hafidz Roshdi, Wani Kayrie dan ramai lagi.

Sissy berharap Bebas akan mendapat sambutan dan positif daripada pendengar muzik tempatan selain dimainkan di stesen radio.

"Saya meletakkan harapan besar pada lagu ini dan semoga ia menjadi pilihan peminat muzik. Bebas juga melodinya sangat 'catchy' dan ia membuat saya tertarik untuk merakamkannya. Ada eksperimen dalam lagu ini," katanya.

Single Bebas yang diedarkan Alternate Records atau dulu dikenali Monkey Bone kini boleh didapati di pelantar muzik popular seperti Spotify, Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, YouTube Music dan iTunes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 6:24 AM