SISSY Imann
SISSY Imann
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi Sissy Imann mengakui gembira dan pada masa sama gementar untuk mengacarakan program Muzik Muzik 36.

Difahamkan Sissy, 26, atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil bergandingan dengan hos sedia ada iaitu Alif Satar.

Sissy ketika dihubungi berkata, pemilihannya pada program ikonik TV3 itu sesuatu yang bermakna dalam kerjaya seninya.

"Seingat saya, tawaran ini datang lebih kurang seminggu lalu. Tapi proses perbincangan antara pihak TV3 dan kedua ibu bapa saya. Jadi, saya tidak tahu berapa lama proses itu. 

"Sejujurnya saya gembira dan bercampur baur dengan gementar. Sebab dalam bidang pengacaraan ini, saya baru juga. Kiranya ini menjadi skala besar dalam kerjaya saya. Doakan saya dapat buat terbaik dan boleh kekal lama dalam program ini," katanya kepada Harian Metro.

Sissy juga Hos Karpet Merah Anugerah Juara Lagu ke-35 yang lalu berkata, dia pernah dipanggil menjalani uji bakat tertutup di TV3.

"Sebelum ini TV3 pernah panggil saya untuk datang uji bakat yang dibuat secara tertutup. Ketika itu tak diberitahu pun untuk program apa. Selepas itu, tidak ada jawapan. Jadi, saya anggap tak ada rezeki.

"Tapi, apabila baru-baru ini mendapat panggilan dan tawaran ini, saya gembira. Lagi pula sebelum ini pun terbabit pada acara karpet merah AJL 35. Malah, saya juga pernah menjadi hos untuk beberapa program hiburan.

"Sejujurnya, untuk program Muzik Muzik kali ini ia dekat degan saya. Sebab ia berkaitan dengan muzik dan saya pun belajar muzik. Kiranya nak bertanya soalan berkaitan muzik akan lebih mudah selain dapat menimba ilmu baru," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 2:35 PM