Rosliza Mohamed


KELUARGA tiga beranak yang mati dibunuh di Taman Bahagia, Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, bulan lalu memohon maaf susulan penularan wajah lelaki disangka suspek pembunuhan.

Permohonan maaf secara terbuka itu dibuat kepada Khong Krasim Eh Chong, 30, dan keluarganya selepas gambar lelaki itu yang dikatakan membunuh tiga beranak terbabit tersebar di Facebook.

Pada 2.30 petang, 15 November lalu, Kha Eng Ni, 42, isterinya, Chua Joo Seok, 37, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13, ditikam dan dihentak dengan tukul hingga mati, manakala seorang anak perempuan mereka cedera.

Adik Eng Ni, Kha Leng Siew, 33, berkata, dia tidak sengaja memuat naik gambar Khong Krasim dengan keterangan suspek pembunuhan ahli keluarga sejurus kejadian berlaku.

“Saya akui kesilapan itu dan ia dilakukan tidak sengaja kerana kami terlalu emosi dan takut dengan kejadian berlaku.

“Ia dimuat naik tanpa niat (mengaibkan Khong Krasim) dan tergesa-gesa kerana wajahnya seiras dengan suspek sebenar yang diumumkan polis (Sharat Eh Wan@Pot,31).

“Saya kemudian memadamkan gambar itu segera, malangnya ia sudah viral sehingga mengejutkan keluarga Khong Krasim,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Sidang media itu dihadiri ahli keluarganya dan Khong Krasim sekeluarga bagi menjelaskan perkara sebenar.

Leng Siew berkata, dia dan keluarganya sudah menemui isteri Khong Krasim untuk memohon maaf dan menjelaskan hal berkenaan, namun hari ini mereka sepakat buat permohonan maaf terbuka.

Dia juga mendesak orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung suspek yang membunuh ahli keluarganya atau mengaitkan Khong Krasim.

“Serahkan semuanya kepada polis untuk lakukan siasatan, malah saya difahamkan Sharat yang disyaki suspek utama masih diburu,” katanya.

Sementara itu, kakak Khong Krasim, Thassni Eh Chong, 36, yang mewakili adiknya berkata, mereka sekeluarga sudah memaafkan keluarga itu.

Menurutnya, mereka akui kekeliruan berlaku dipengaruhi emosi keluarga si mati dan adiknya juga sudah membuat laporan polis pada 6.30 petang, 15 November susulan hal itu.

“Memang kami terkejut malah ramai kenalan bertanya sama ada benar. Apabila diterangkan mereka faham, cuma kita jelaskan untuk pastikan masyarakat tidak buat cerita lagi.

“Kami pun sudah maafkan keluarga Kha,” katanya yang mempunyai pertalian saudara dengan si mati.

Berita berkaitan

Tiga beranak dibunuh selamat dikebumi [METROTV]

'Jangan buat!' [METROTV]

Suspek bunuh tiga beranak diburu

Tiga beranak dibunuh

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 1:55 PM
Leng Siew menangis pada sidang media permohonan maaf kepada Khong Krassim selepas memuat naik gambar lelaki itu sebagai pembunuh. FOTO Fathil Asri
Leng Siew menangis pada sidang media permohonan maaf kepada Khong Krassim selepas memuat naik gambar lelaki itu sebagai pembunuh. FOTO Fathil Asri